utama

Covid-19: Terus meningkat, 23 kes dilaporkan hari ini

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara terus meningkat dengan merekodkan 23 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,884 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 23 kes baharu itu, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan empat warga Malaysia dan dua bukan warga negara yang dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

Beliau berkata, enam kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Singapura (tiga), Indonesia (seorang), Filipina (seorang), dan Russia (seorang).

Dalam pada itu, katanya, daripada 17 kes penularan tempatan dalam negara, 10 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala tujuh kes dalam kalangan bukan warga negara.

"Kes jangkitan dalam kalangan bukan warga negara membabitkan satu kes saringan selepas bersalin. Beliau adalah seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Beliau tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang.

"Selain itu, Selangor terdapat dua kes membabitkan satu kes daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan satu kes saringan di tempat kerja. Di Johor merekodkan empat kes iaitu satu kes Kluster Warga Emas Kluang, dua kes daripada Kluster Bukit Tiram dan satu kes saringan sebelum masuk kerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perincian kes penularan Covid-19 dalam kalangan warga Malaysia (10 kes) pula membabitkan satu kes daripada Kluster PUI Ramnad di Kuala Lumpur, satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang, Johor dan satu kes daripada tempat kerja di Johor.

"Sebanyak lapan kes di Sarawak direkodkan membabitkan empat kes daripada Kluster Sentosa, Kluster Kejuruteraan Kuching (seorang), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (seorang), satu kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang.

"Individu ini tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu kes saringan di tempat kerja," katanya.

Menurutnya, terdapat 17 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan sudah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,594 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 167 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 25, 2020 @ 5:27pm
    d