utama

'Supermodel' baju dobi

Oleh Agensi

Wansho: Pasangan suami isteri warga emas di ibu kota Taiwan ini tiba-tiba menjadi ikon fesyen apabila menggayakan pakaian yang tidak dituntut pelanggan dari dobi mereka sejak sedekad lalu.

Hsu Hsiu-e, 84, dan suaminya Chang Wan-ji, 83, sebelum itu mengusahakan sebuah dobi namun perniagaan mereka terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19.

Bagi merancakkan semula perniagaan mereka, pasangan itu mendapat idea untuk menggayakan semula pakaian yang tidak dituntut pelanggan sejak lebih sedekad lalu sebelum memuat naik di Instagram.

Ternyata strategi itu menjadi, malah ia mendapat respon yang sangat baik daripada orang ramai dan dalam masa sama turut mengejutkan cucu pasangan itu, Reef Chang, 31, yang juga seorang jurugaya.

"Saya begitu terkejut dan tidak menyangka masyarakat luar negara berminat dengan apa yang dilakukan datuk dan nenek," katanya.

Menurut Reef, datuk dan neneknya mempunyai bakat beraksi dengan bersahaja di depan kamera menyebabkan aksi mereka nampak lebih spontan persis supermodel.

Pakaian digayakan pasangan itu berkonsepkan eklektik, funky dan santai selain mengenakan kasut kasual berserta topi dengan pilihan warna yang ceria.

Pasangan itu tidak perlu mencari lokasi hebat untuk bergambar kerana menggunakan sepenuhnya ruang di sekitar kedai dobi termasuk di depan mesin basuh dan rak yang digantung pelbagai jenis pakaian.

Hsu berkata, cucunya seorang yang begitu kreatif dalam menggayakan pakaian dan ia berjaya menggembirakan orang lain.

"Kreativiti ini membuat orang lain amat gembira," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 6:31am
d