utama

Ejen 'ajaib' kena tangkap

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

PUTRAJAYA: "Usah mudah percaya ayat manis jurujual kononnya wujud produk atau gelang tangan ajaib yang boleh menghindari Covid-19," ujar Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Beliau berkata, tidak wujud produk dijual di pasaran atau dalam talian yang boleh memastikan tubuh manusia kebal dari virus Covid-19.

"Terbaru, ada individu cuba kaut untung dengan menawarkan gelang tangan anti pandemik Covid-19 yang didakwa boleh mengelakkan individu memakainya dijangkiti virus maut itu.

"Penjualan gelang yang mencecah harga hampir RM600 setiap satu itu dibongkar selepas anggota KPDNHEP menerima maklumat dari pengguna berhubung maklumat mengelirukan itu.

"Susulan siasatan dijalankan, KPDNHEP menahan seorang ejen jualan langsung wanita yang mempromosikan gelang tangan itu di laman sosial," katanya, semalam.

Iskandar Halim berkata, penjualan gelang itu jelas mengelirukan pengguna dan mengambil kesempatan susulan kebimbangan orang ramai terhadap pandemik Covid-19.

Menurutnya, penjualan gelang itu tular di Facebook selepas wanita itu menawarkannya pada harga RM580 setiap satu.

Katanya bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan menyoal siasat wanita terbabit yang juga ejen sebuah syarikat jualan langsung.

"Tindakan wanita itu yang mempromosikan produk dengan memberi pernyataan mengelirukan adalah kesalahan mengikut Seksyen 10(1)(h) Akta Perlindungan Pengguna 1999. Dia dikompaun maksimum sebanyak RM50,000," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, individu terbabit akan dituduh di mahkamah.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 6:45am
d