utama

25 PATI terjun laut, 1 Rohingya selamat [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

SEORANG etnik Rohingya terselamat, manakala 24 lagi hilang dan dikhuatiri lemas selepas mereka beramai-ramai terjun ke laut di perairan Barat Pulau Langkawi, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, 25 pendatang tanpa izin (PATI) itu dilaporkan terjun ke laut dari bot dan cuba berenang ke pantai, namun hanya seorang yang terselamat.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa yang terselamat dikenali sebagai Nor Hossain, 27.

"Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) yang menerima laporan berkaitan kejadian daripada polis menghantar bot Pelindung 2 ke lokasi pada 10.30 malam.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung hari ini membabitkan dua aset laut iaitu kapal KM Gagah dan bot Pelindung 2 serta helikopter Agusta Westland AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya dalam satu kenyataan di Langkawi, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, sektor pencarian membabitkan kawasan perairan seluas 109 batu nautika persegi di barat Pulau Langkawi.

"Mangsa dan pengadu yang terselamat ditahan polis untuk siasatan lanjut.

"Kita menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat lain, komuniti nelayan dan pihak berkuasa Thailand juga dimaklumkan menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) di Putrajaya " katanya.

Beliau berkata, komuniti maritim juga boleh melaporkan jika menemui sebarang petunjuk atau penemuan mangsa kejadian di laut atau di persisir pantai menerusi talian talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Disiarkan pada: July 26, 2020 @ 3:51pm
d