utama

Lembu untuk peranti

Oleh Agensi

MUMBAI: Kasih seorang bapa sanggup memohon pinjaman kewangan demi membeli telefon pintar untuk digunakan dalam kelas dalam talian anaknya ketika sekolah masih belum dibuka sepenuhnya di India.

Kuldip Kumar dari Jwalamukhi di daerah Kangra terpaksa berbuat demikian kerana kesempitan hidup dan tidak mampu membeli telefon pintar secara tunai.

Dia bersama isteri dan dua anaknya tinggal di rumah yang dibina menggunakan lumpur dan usahanya untuk mendapatkan bantuan membina rumah tidak diendahkan.

Kini sekolah di India memperkenalkan kelas dalam talian untuk murid ketika negara itu masih bergelut memerangi Covid-19 namun tidak semua memiliki telefon pintar atau peranti yang sesuai.

Kuldip berkata, sejak sekolah ditutup Mac lalu, dua anaknya berdepan kesukaran untuk mengikuti kelas dalam talian kerana tidak memiliki telefon pintar.

Lelaki itu kemudian bertemu guru anaknya namun dia dimaklumkan sekiranya mahu meneruskan kelas dalam talian, anaknya perlu memiliki telefon pintar.

Tidak berputus asa, Kuldip kemudian mendapatkan pinjaman daripada syarikat peminjam wang dan bank sebanyak Rs6,000 (kira-kira RM 342) namun permohonannya ditolak.

Selepas cubaannya itu gagal, dia akhirnya terpaksa akur untuk menjual seekor lembu dengan nilai sama dan wang itu digunakan untuk membeli telefon pintar untuk anaknya, lapor Tribune.

Sementara itu, wakil Dewan Undangan Jwalamukhi Ramesh Dhawala berkata, dia sudah mengarahkan pihak berwajib memberikan bantuan kewangan segera untuk membantu Kuldip.

Disiarkan pada: July 27, 2020 @ 6:30am
d