utama

Warganet risau wujud kluster Najib [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS membuat pengumuman menggunakan pembesar suara kepada ratusan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menjaga jarak sosial selepas mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.

Pengumuman itu dibuat jam 11.08 pagi ini oleh anggota unit kereta peronda polis (MVP) supaya mereka yang berkumpul mematuhi jarak sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, beliau dan anggotanya sebelum itu sudah mengarahkan mereka untuk menjaga jarak sosial namun masih ada yang tidak berbuat demikian.

Menurutnya, susulan itu, polis menggunakan pembesar suara membuat pengumuman supaya mereka yang berhimpun itu mematuhi SOP ditetapkan.

Lebih menggusarkan apabila mereka bukan saja tidak mematuhi jarak sosial malah ada yang tidak memakai pelitup muka yang dibimbangi menyebabkan kluster baru Covid-19.

Kebimbangan mengenai wujud kluster Najib atau kluster Bossku disuarakan warganet berikutan gambar penyokong Najib yang berhimpun tanpa mempedulikan langkah-langkah kawalan penularan Covid-19.

Ada juga yang meminta polis mengambil tindakan kompaun kerana jelas menunjukkan ratusan penyokong bekas Perdana Menteri itu melanggar SOP.

Bekas Perdana Menteri itu, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Bagi tuduhan pecah amanah, Najib didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (rentas) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berita Berkaitan

  • Kronologi kes SRC
  • Najib tiba di mahkamah
  • Kes SRC: Hanya 10 media dibenar masuk mahkamah>
  • Kes SRC: Ratusan penyokong hadir ke mahkamah
  • Nasib Najib ditentukan 10 pagi ini
  • Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 11:44am
    d