utama

JKNS sahkan seorang murid sekolah rendah positif Covid-19

Oleh Yun Mikail

JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan terdapat satu kes positif Covid-19 membabitkan seorang murid sekolah rendah di negeri itu, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, sampel daripada semua rakan sekelas mahupun ahli keluarga pesakit sudah diambil.

"Semua kontak juga kini sudah diarahkan menjalani perintah kuarantin selama 14 hari.

"Kita menasihatkan semua ibu bapa agar sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya ada sebarang simptom menunjukkan Covid-19," katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sebelum ini satu mesej tular menyatakan terdapat seorang murid sekolah di Inanam dikesan positif Covid-19.

Terdahulu Dr Christina memaklumkan Sabah merekodkan tiga kes baharu positif Covid-19 semalam iaitu masing-masing satu kes di Lahad Datu, Papar dan Penampang.

Katanya, kes terbaharu itu menjadikan jumlah sebanyak 392 kes Covid-19 di negeri itu.

Katanya, kes ke-390 dan 391 dikategorikan sebagai jangkitan tempatan manakala kes ke-392 kes import.

Dr Christina menyatakan pihaknya sudah menjalankan sebanyak 766 ujian sekali gus menjadikan kumulatif ujian bagi keseluruhan negeri adalah 144,820 setakat 27 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:02pm
d