utama

Kek unik Nor Syifaa

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

TIDAK mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang kulinari namun kek buatannya setanding cef pastri yang berpengalaman.

Dengan hanya berbekalkan ilmu daripada tiga kelas yang dihadirinya dua tahun lalu, seorang usahawan muda, Nor Syifaa Nadia Nazirun, 24, berjaya menghasilkan lebih dari 500 reka bentuk kek.

Menurutnya, pada awal pembabitannya dalam bidang pastri agak mencabar memandangkan dia tidak mempunyai pengalaman dalam menghasilkan kek dekorasi khas mengikut cita rasa pelanggan.

"Saya memulakan bisnes pada awal Januari 2018 dengan tujuan asal mencari duit sampingan sambil belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Melaka.

"Bermula daripada situ ramai yang mula membuat tempahan dan meminta saya menghasilkan kek berdekorasi khas atau 'custom cake' untuk majlis tertentu seperti sambutan hari jadi dan majlis perkahwinan," katanya.

Graduan Diploma Komunikasi Media Baharu dan Keusahawanan itu berkata, disebabkan permintaan tinggi pelanggan menyebabkannya memutuskan untuk berhenti kerja di sebuah syarikat swasta.

"Saya terpaksa berhenti kerja disebabkan tidak dapat membahagikan masa untuk kedua-dua kerjaya itu sehingga pernah terlewat ke tempat kerja kerana terlalu penat menyiapkan tempahan pada malam sebelumnya.

"Setakat ini, saya menjalankan perniagaan di rumah dan mengambil tempahan melalui WhatsApp dan mempromosikannya di Instagram," katanya.

Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu berkata, dia memasang impian mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka cawangan kafe dan kelas pastri suatu hari nanti.

"Buat masa ini, saya tidak merekrut pekerja dan hanya ahli keluarga sahaja yang banyak membantu saya dari segi penghantaran kepada pelanggan.

"Proses mengadun bahan, membakar kek termasuk dekorasi atas usaha sendiri tanpa bantuan sesiapa demi menjaga kualiti dan reka bentuk kek," katanya.

Bercerita lanjut, dia berkongsi pada peringkat awal perniagaannya dia pernah mendapat maklum balas negatif daripada pelanggan mengenai tekstur keknya.

"Saya tidak menjadikan komen itu sebagai satu perkara yang negatif tetapi menjadikan ia sebagai pemangkin untuk memperbaiki kemahiran diri.

"Prinsip belajar dari kesilapan itulah saya pegang dalam memajukan lagi perniagaan sehingga masih lagi bertahan dan berkembang sehingga ke hari ini," katanya.

Perniagaan Nor Syifaa beroperasi di Port Dickson dan antara hasil kek yang paling menarik dihasilkannya adalah dekorasi bertemakan filem popular seperti Harry Potter, Minions, Game of Thrones serta beberapa reka bentuk unik seperti mee dan kek 'geode'.

"Saya atau ahli keluarga hanya boleh menghantar pesanan pelanggan di tiga lokasi utama sahaja iaitu sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Harga setiap kek yang dipesan bermula dari RM150 hingga RM420 tidak termasuk caj penghantaran," katanya.

Terdahulu, Nor Syifaa memuat naik beberapa gambar hasil kek buatannya di Twitter dan mendapat lebih dari 2,300 tanda suka dan 1,300 ulang kicau.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 9:00pm
d