utama

Kemelut politik Sabah: Menyusahkan rakyat - Penganalisis Politik

Oleh Suraya Roslan

"PEREBUTAN kuasa ketika pandemik Covid-19 ini benar-benar menyusahkan rakyat.

"Sepatutnya dalam keadaan sekarang, sentimen ahli politik adalah memikirkan kesusahan rakyat dan bukan berebut kuasa."

Demikian penjelasan penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Hari ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk pembubaran DUN Sabah dan secara rasminya hak mengundi memilih pemimpin dikembalikan kepada rakyat.

Dr Awang Azman berkata, bagaimanapun rakyat perlu akur atas keputusan itu dan bijak menilai pemimpin yang adil dan tinggi integriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

"Perebutan kuasa untuk menjadi Ketua Menteri ini sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan rakyat susah dengan pandemik ini.

"Jelas terdapat pemimpin yang terlalu mengejar kuasa sehingga lupa memikirkan kepentingan rakyat," katanya.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk menentukan tarikh sebenar PRN Sabah.

"Selepas Tun Juhar berkenan dengan permohonan Mohd Shafie, SPR akan bersidang untuk menentukan tarikh sebenar PRN dan mengembalikan mandat rakyat untuk mengundi.

"PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dan Mohd Shafie masih care-taker untuk mentadbir Sabah sehingga SPR umum tarikh PRN," katanya.

Menurutnya, peruntukan untuk mengadakan PRN sepatutnya digunakan membantu rakyat Sabah yang dalam kesusahan.

"Contoh jika kos untuk mengadakan PRN berjumlah puluhan juta, ini jelas satu pembaziran dalam keadaan Covid-19 ini.

"Peruntukan itu jika digunakan untuk membantu rakyat miskin pastinya lebih baik," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 2:08pm
d