utama

'Lebih baik kita beringat dan berwaspada' - PM [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

UMAT Islam di negara ini diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika menyambut perayaan Aidiladha esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak tidak boleh leka dan alpa kerana negara masih belum bebas daripada pandemik Covid-19.

"Bersempena dengan Aidiladha mulai esok sehingga 13 Zulhijjah (Isnin), ramai yang akan melaksanakan ibadah korban iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak.

"Laksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan di samping mematuhi SOP ditetapkan iaitu hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu.

"Anda juga tidak dibenarkan mengadakan kenduri di tempat ibadah korban dijalankan. Apabila selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Aidiladha yang disiarkan secara langsung di televisyen malam ini.

Di rumah pula, Muhyiddin berkata, pastikan jumlah sanak-saudara yang datang ziarah tidak melebihi 20 orang pada satu masa dan elakkan bersalam.

"Jika di rumah anda ada ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin, beritahu sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat-handai jangan datang ziarah.

"Ini bahaya. Kita tidak tahu mungkin akan ada jangkitan jika orang yang dikuarantin itu kemudiannya didapati positif Covid-19.

"Di samping itu, pastikan ahli keluarga yang sedang menjalani kuarantin tidak keluar dari rumah. Jangan dia pula yang berjalan ke sana ke sini. Saya dapat laporan ada dalam kalangan mereka yang menjalani kuarantin di rumah keluar. Ini satu kesalahan berat," katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar arahan kuarantin.

"Saya sebutkan SOP ini secara agak terperinci sebagai

peringatan. Supaya sepanjang sambutan Aidiladha esok dan pada harihari tasyrik, keadaan terkawal dan teratur.

"Saya nak mengingatkan jika kita tidak peka dan berhati-hati, kemungkinan jangkitan Covid-19 merebak semasa musim perayaan ini adalah tinggi.

"Kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku. Jadi, lebih baiklah kita beringat dan berwaspada," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan ahli jawatankuasa masjid supaya mengawal kehadiran jemaah ketika solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat.

"Saya pasti masjid di pekan kecil dan kampung akan menjadi sesak bukan sahaja semasa solat sunat Aidiladha, tetapi juga semasa solat Jumaat diadakan. Ini kerana ramai perantau pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Jadi saya nak minta kerjasama imam-imam, bilal, tok siak dan semua ahli jawatankuasa supaya kawal keadaan. Pastikan jarak yang selamat antara makmum. Pergerakan keluar dan masuk masjid juga mesti dikawal supaya teratur," katanya.

Muhyiddin berkata, kemungkinan jangkitan Covid-19 merebak semasa musim perayaan adalah tinggi jika rakyat tidak beringat dan berwaspada.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 8:28pm
d