utama

Hampir 17 jam dalam kereta, baru sampai Kuala Krai

Oleh Raja Noraina Raja Rah im

"SAYA sudah menjangkakan berlaku kesesakan kerana ramai mahu pulang menyambut hari raya bersama keluarga. Ini saja peluang untuk saya melepaskan rindu berhari raya bersama keluarga selepas tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama mereka sebelum ini," kata Wan Raimie Wan Ramli, 35.

Menurutnya, dia memulakan perjalanan bersama suami dan dua anak dari rumahnya di Klang, Selangor pada 4.40 pagi hari ini masih belum sampai ke kampungnya di Pasir Puteh, Kelantan walaupun sudah berada dalam kereta hampir 17 jam.

Katanya, dia baru berada di Kuala Krai pada 10 malam ini berbanding kebiasaannya perjalanannya dari Klang ke Pasir Puteh hanya mengambil masa kira-kira tujuh jam.

"Pagi tadi saya singgah menunaikan solat Subuh di Genting Sempah sebelum meneruskan perjalanan sehingga ke Bentong dengan keadaan trafik masih lancar.

"Namun keadaan trafik sesak teruk dan tidak bergerak apabila tiba di Raub menuju ke Gua Musang.

"Kami terpaksa menempuh perjalanan di situ selama lebih 13 jam sebelum berhenti rehat di Hentian Gua Musang.

"Keadaan di hentian itu pun orang ramai dan kami perlu menunggu giliran untuk menunaikan solat kerana jumlah jemaah dihadkan pada satu masa," katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitter melaporkan, trafik sesak sejauh 5.9 kilometer dari Gombak ke Genting Sempah pada 10 malam.

Kesesakan sama turut dilaporkan berlaku di Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong hala Timur.

Selain itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) juga melaporkan, trafik perlahan dari Nilai ke Senawang, Negeri Sembilan.

Kesesakan turut berlaku di Rawang ke Sungai Buaya, Behrang ke Gopeng, Perak dan Juru ke Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan tiada halangan rentas negeri menjelang Aidiladha ini.

Berikutan itu, orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha selepas tidak dapat meraikan Aidilfitri di kampung masing-masing sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 10:23pm
d