utama

9 kes baharu Covid-19

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KES jangkitan Covid-19 di negara ini kembali mencatatkan satu angka apabila sembilan kes baharu dilaporkan dengan tiada kematian, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di negara kini 8,985 kes dan kematian kekal 125 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan pula sebanyak 213 kes.

"Daripada jumlah kes baharu itu, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan lima warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

"Tujuh kes import itu adalah dari negara India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun dan Switzerland yang membabitkan keseluruhan lima kes di Selangor manakala Filipina serta Pakistan membabitkan dua kes di Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes penularan di dalam negara iaitu satu kes warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara.

"Kes warganegara Malaysia dilaporkan di Kedah iaitu Kluster PUI Sivagangga manakala satu kes bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor dari Kluster Bukit Tiram.

Selain itu, beliau berkata, tiga kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 8,647 atau 96.24 peratus.

"Hanya dua individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 5:29pm
    d