utama

'Semoga dia menjadi abah bertanggungjawab' - Nur Hidayu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BEKAS isteri Imam Muda Syed Faris iaitu Nur Hidayu Rosly, 33, memohon doa orang ramai supaya majlis sulh yang dibuat membabitkan tuntutan nafkah anak pada 11 Ogos ini dan hadhanah (penjagaan anak) pada 9 September depan, dipermudahkan Allah SWT.

Nur Hidayu berkata, tindakan itu adalah untuk menuntut hak lima anaknya berumur antara lapan bulan sehingga 12 tahun selepas bercerai dengan Syed Faris atau nama sebenar Syed Mohd Faris Syed Roslan, 34, pada 28 Mei lalu.

"Saya ada WhatsApp bekas suami untuk hadir ke mahkmah pada 11 Ogos ini dan 9 September, depan. Tapi, masih lagi tiada jawapan.

"Semoga Allah memudahkan urusan semua yang terbabit. Saya hanya nak tuntut hak anak-anak saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nur Hidayu, tuntutan hadhanah yang dibuat kerana dua anaknya masih kecil serta seorang berumur tiga tahun, manakala yang kecil baru berusia lapan bulan dan masih menyusu.

Dalam temu bual yang dibuat Rabu lalu, Nur Hidayu mendakwa bekas suaminya itu mengugut untuk mengambil dua anak mereka yang masih kecil.

"Ia bagi mengelak membayar nafkah dengan jumlah banyak, dia mengugut mahu mengambil dua anak yang masih kecil," katanya.

Dalam masa sama, Nur Hidayu juga berkongsi bekas suaminya itu ada memasukkan sejumlah duit, kelmarin.

"Dia ada masukkan duit dua hari lepas. Alhamdulillah, semoga abah mereka (bekas suami) berubah dan tahu tanggungjawab dia terhadap anak-anak.

"Apatah lagi, dua yang kecil masih menyusu dan memang menjadi tanggungjawab saya. Namun, jika abah mereka nak ambil atau berjumpa boleh saja.

"Saya dan bekas suami pun tak minta untuk keadaan menjadi sebegini. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah SWT.

"Saya juga tetap pesan pada anak-anak, yang mana abah tetap abah mereka sampi bila-bila. Cuma, jodoh kami tak panjang. Mungkin saya juga banyak silap yang saya tak nampak," katanya.

Ditanya sama ada bekas suami ada menghubungi atau menghantar mesej selepas pendedahan yang dibuat, Nur Hidayu berkata tiada.

Terdahulu, kisah Nur Hidayu menjadi perhatian warganet apabila membuat pendedahan diceraikan finalis program Imam Muda musim kedua pada 2014 itu selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Nur Hidayu diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Malah, sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.

Berita berkaitan

'Tak perlu kaitkan saya dengan hal orang lain' - Hana Azraa

Nur Hidayu reda kena cerai, Imam Muda Faris terus membisu

Finalis Imam Muda ceraikan isteri selepas nikah wanita lain [METROTV]

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 9:01pm
d