utama

Bunuh isteri guna tudung

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TIDAK dapat menerima hakikat isterinya memfailkan perceraian menyebabkan seorang lelaki tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu, turut berpura-pura mencari isterinya, 40, yang juga seorang pensyarah bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana, di Sepang.

"Suspek kemudiannya membawa mayat mangsa menggunakan kenderaan dipandunya menghala ke Tasik PKNS, Dengkil pada 4.30 petang Rabu lalu," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menukarkan tempat mangsa ke tempat pemandu sebelum mengambil dompet dan telefon simati serta meninggalkan isterinya dalam keadaan enjin kereta masih hidup.

"Dia (suspek) kemudian keluar bersama anak menaiki kenderaan e-hailing konon ingin mencari wanita itu yang tidak pulang ke rumah dari jam 4 petang Rabu lalu.

"Suspek mengatakan dirinya bersama dengan bantuan pemandu e-hailing dari rumah yang terletak di Putra Perdana sehingga menjumpai kereta yang dinaiki mangsa di tepi tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya dan kemudiannya hubungi pihak polis apabila mendapati isterinya tidak bergerak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Kamarul berkata, pemeriksaan pihak polis yang tiba di lokasi kejadian dapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa melainkan telefon bimbit dan beg duit yang tiada bersama dengannya tetapi gelang emas masih berada di pergelangan tangan kiri.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat dan hasil bedah siasat yang dijalankan pada Khamis lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan jerutan di leher.

"Siasatan yang dijalankan ke atas suami mangsa mendapati hubungan kedua-duanya mempunyai masalah kerana lelaki itu melafazkan cerai pada pada 24 Jun lalu," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek menjerut leher wanita itu kerana terlalu marah selepas bertengkar berkaitan perceraian yang mahu difailkan mangsa.

"Suspek mengaku membunuh isterinya kerana marahkan mangsa yang tetap mahu bercerai dengannya.

"Mereka sudah berkahwin pada 2005 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 14 tahun," katanya.

Katanya, suspek direman sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 3:02pm
d