utama

Pendedahan Asri Janggut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat

Oleh Amir Abd Hamid

SEBARANG tindakan pihak berkuasa jika tidak diurus dengan baik terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Asri Janggut yang mendedahkan kegiatan premis judi dan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh boleh menghakis keyakinan orang ramai.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk menumpukan kepada isu atau perkara yang dibangkitkan, bukan menyiasat pemberi maklumat.

"Berdasarkan kenyataan PDRM semalam, Asri Janggut kini akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Tindakan sedemikian jika tidak diurus dengan baik boleh menghakis kredibiliti pihak berkuasa, mengurangkan keyakinan orang ramai untuk berkongsi maklumat kepada PDRM serta menghukum pemberi maklumat, sedangkan penjenayah sebenar masih bebas dengan kegiatan haram," katanya demikian dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, isu Asri Janggut itu dicadangkan untuk dibangkitkan di Dewan Rakyat.

"Saya nampak isu ini sepatutnya dibawa ke Parlimen sebab ia membabitkan (integriti) penguat kuasa.

"Kena jaga nama baik PDRM juga. Jadi saya rasa sepatutnya Menteri yang berkenaan boleh menjelaskan atau pun menjernihkan keadaan itu dengan celahan atau penerangan di Parlimen.

"Untuk peringkat kami (pembangkang), kita akan cuba selitkan dalam sesi perbahasan nanti sebab macam esok ada Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan, mungkin kita cuba sebut (mencelah)," katanya.

Akmal berkata, pada masa sama mengulangi gesaan sebelum ini supaya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu dikaji semula dan ditambah baik.

Ini katanya, termasuklah ruang perkongsian maklumat yang lebih terbuka dan telus serta melindungi pemberi maklumat daripada tindakan undang-undang akibat pendedahan maklumat yang diberikan.

"Pihak AMK juga bersedia menawarkan khidmat guaman kepada pengadu sekiranya berdepan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini, menyiarkan dakwaan Asri Janggut atau Mohd Asri Hamid disiarkan secara langsung dalam akaun FB Hot Burger Malaysia kelmarin.

Dia mendedahkan kewujudan perjudian haram dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh sehingga mencetuskan kontroversi.

PDRM dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendakwa video yang dimuat naik itu berunsur fitnah.

Berita berkaitan

SPRM cari penguat kuasa lindung perniagaan haram di Sungai Buloh

'Hak polis untuk nafi tapi saya penduduk asal di situ' - peniaga burger [METROTV]

'Bagus, ada orang berani, ikhlas...' - KPN

Polis buat laporan polis terhadap peniaga burger tular

Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA

Disiarkan pada: August 10, 2020 @ 12:49pm
d