utama

'Memang rutin saya dukung mama'

Oleh Mahaizura Abd Malik

"SAYA sebak dan terharu waktu itu kerana tak sangka Allah masih beri peluang dengan memanjangkan umur mama untuk melihat detik akad nikah saya.

"Sebelum ini, doktor beritahu mungkin mama tidak dapat diselamatkan, tetapi saya bersyukur Allah beri kekuatan untuk mama melawan penyakitnya dan berpeluang berkongsi detik istimewa hari bahagia saya," kata Mohamad Karami Mat Izam.

Pengorbanan dan kasih sayang Mohamad Karami, 23, terhadap ibunya, Heryalti Tayalis, 53, dikongsikan jurugambar perkahwinan, Mohamad Amirul Haziq, 26, Facebook Seniman Visual, semalam.

Beberapa gambar dirakam Mohamad Amirul ketika majlis akad nikah Mohamad Karami dan pasangannya, Nadia syafiqah Hamzah, 19, berlangsung di sebuah masjid di Damansara Damai, 8 Ogos lalu.

Gambar detik Mohamad Karami mendukung ibunya keluar dari sebuah kenderaan selain mencium tangan wanita berkerusi roda itu amat menyentuh hati dan mengundang sebak warganet.

Mohamad Karami, 23, berkata, detik berkenaan bukan gimik sebaliknya ia sememangnya rutin hariannya yang menggalas tugas menjaga ibunya sejak Januari lalu.

"Memang sudah menjadi rutin ke mana-mana termasuk membuat rawatan susulan di hospital, saya akan mendukung mama kerana dia tidak boleh berjalan akibat terjatuh pada Oktober lalu yang menyebabkan pendarahan pada otak kanan.

"Bagi saya mama keutamaan dan permaisuri hati saya, sebab itu saya sanggup berhenti kerja Januari lalu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia bersyukur detik berkenaan sempat dirakamkan Mohamad Amirul yang juga rakannya untuk simpanan kenangan sempena hari bahagianya.

"Detik saya menangis selepas akad nikah antara yang tidak dapat saya lupakan apabila kadi itu memberi khutbah mengenai memuliakan orang tua.

"Katanya, kita ini hebat dan disanjung sebab ada ibu ayah kita. Kata-kata itu membuatkan ego saya jatuh dan mata saya berkaca-kaca.

"Detik itu bertambah syahdu apabila mama menangis dan peluk saya erat lama selepas akad nikah apabila saya meminta ampun dan berterima kasih kerana dia tengok majlis saya walaupun masih belum sembuh sepenuhnya," katanya.

Mohamad Karami yang menetap di Jeram, Kuala Selangor berkata, dia masih menggalas amanah menjaga ibu dan bapanya sambil memandu e-hailing secara sambilan.

"Ini amanah saya sebagai satu-satunya anak lelaki memandangkan kakak saya pun sudah berkahwin dan mengikut suaminya, di Senawang.

"Saya akan menjaga kedua-duanya sampai bila-bila selagi mana termampu dan saya berharap semoga ini menjadi inspirasi semua anak di luar sana supaya menjaga ibu bapa selagi mereka masih hidup," katanya.

Sementara itu, Mohamad Amirul berkata, gambar berkenaan mengundang sebak kepadanya kerana memiliki nilai sentuhan kemanusiaan dan cerita tersendiri mengenai keagungan kasih sayang dua beranak.

"Tindakan merakam detik itu tidak dirancang. Saya pun tidak tahu ibu dia dalam keadaan macam itu. Pada hari kejadian, saya memang bertugas merakamkan pengantin lelaki dan tiba-tiba Mohamad Karami berlari ke arah kenderaan itu sebelum mendukung ibunya.

"Apabila saya nampak detik itu, saya tidak lepaskan peluang merakamkan detik penuh bermakna itu kerana saya melihat ia ada sentuhan dan ceritanya yang boleh dijadikan kenangan untuk mereka sekeluarga.

"Secara jujurnya, selama lapan tahun saya berkecimpung dalam bidang ini, inilah majlis akad nikah yang paling sebak pernah saya rakamkan, malah mereka yang hadir majlis itu juga turut mengalirkan air mata melihat kasih sayang dua beranak itu," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 9:35pm
d