utama

Cinta nusa bekas sarjan

Oleh Hassan Omar

ALOR GAJAH: Jalur Gemilang milik rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau bangsa dan ia seharusnya dipasang sekurang-kurangnya satu di setiap premis sama ada rumah atau kedai.

Itulah pegangan Sulaiman Yusoh, 63, yang mendorong beliau memasang berpuluh-puluh Jalur Gemilang di kediamannya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, dekat sini, setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Sejak bersara daripada Bahagian Komunikasi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 2017, Sulaiman tidak pernah melepaskan peluang memasang berpuluh-puluh bendera di halaman rumah berbanding hanya satu atau dua bendera ketika masih bertugas.

"Semasa bertugas, saya tidak ada banyak masa untuk memasang banyak Jalur Gemilang, tetapi selepas bersara dengan pangkat sarjan, saya mempunyai banyak masa terluang untuk berbuat demikian.

"Saya tebang buluh untuk memasang bendera semata-mata kerana amat sayangkan tanah air kita kerana di sinilah saya dilahirkan dan di sinilah saya meneruskan kehidupan hingga sekarang. Alhamdulillah...," katanya.

Beliau berkata, ketika berkhidmat dalam Pasukan Komando VAT 69 sebelum berpindah ke Jabatan Komunikasi, kebanyakan waktu dihabiskan dengan menjalani operasi memburu pengganas komunis.

Katanya, semangat mempertahankan tanah air daripada musuh tidak pernah luntur daripada jiwanya dan dengan semangat itulah, dia sanggup berbelanja beratus ringgit untuk mendapatkan Jalur Gemilang.

"Berapa sangatlah harga sehelai Jalur Gemilang jika dibandingkan dengan jasa dan budi tanah air kita memberikan peluang untuk hidup dalam keadaan serba lengkap.

"Jadi semua lapisan masyarakat di negara ini disarankan memasang Jalur Gemilang terutama di halaman premis masing-masing bagi mempamerkan semangat patriotik kepada tanah air tercinta," katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2020 @ 6:40am
d