utama

'Teringin dengar suara ibu, ayah'

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Terdetik di hati ingin mendengar suara ibu dan ayah memanggil nama saya, meskipun sedar ia tidak mungkin berlaku.

"Apa pun bagi saya mereka tetap insan yang 'istimewa'," kata Muhammad Zulhaikal, 19, menceritakan mengenai ibu bapanya, Zailani Selamat, 50 dan Norhayati Abdul Halim, 48, yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Muhammad Zulhaikal memberi reaksi itu selepas videonya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat bersama ibu bapanya yang dimuat naik di Instagram miliknya, tular di media sosial.

Penuntut Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Nilai (PNS) Negeri Sembilan ini berkata, walaupun tidak seperti keluarga lain, dia bersyukur memiliki insan 'istimewa' di sisinya.

Dia yang menetap bersama keluarganya di Shah Alam, Selangor mengakui pernah cemburu dengan keluarga lain yang boleh berbual seperti biasa.

"Saya mahu mengadu masalah dan bercerita mengenai hari yang saya lalui namun kemahiran berkomunikasi melalui bahasa isyarat terhad.

"Saya juga mahu mendengar mereka membebel jika saya melakukan apa-apa kesilapan sehingga pernah timbul keinginan memiliki ibu dan ayah sempurna seperti yang lain," katanya kepada Harian Metro.

Begitupun, anak sulung dari tiga beradik itu mengakui, tanpa jasa dan pengorbanan mereka menjaga dia dan adik-beradik lain, pastinya mereka tidak akan menikmati kehidupan selesa seperti sekarang.

Menurutnya, dia dan adik-beradiknya yang lain dianugerahkan dengan fizikal yang sempurna, justeru mereka berhasrat ingin membanggakan ibu bapa mereka itu suatu hari nanti.

"Walaupun ayah dan ibu OKU, mereka tidak pernah meminta wang dari mana-mana pihak.

"Ayah bekerja sebagai mekanik di bengkel kenderaan berdekatan rumah manakala ibu pula mengambil upah menjaga anak saudara," katanya.

Mengenai videonya yang tular di media sosial, Muhammad Zulhaikal berkata, ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai ibu bapa mereka serta berkongsi cara berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 10:06pm
d