utama

Kes baharu Covid-19 masih dua angka

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kes kes baharu Covid-19 yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini merekodkan penurunan kepada 47 kes berbanding 58 kes, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes 9,915 jangkitan wabak itu dalam negara dengan jumlah kebolehjangkitan 591.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 45 kes adalah penularan tempatan membabitkan 28 warganegara dan 17 bukan warganegara serta dua kes import membabitkan bukan warganegara.

"Tujuh kes pulih dilaporkan sehingga 12 tengah hari hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 9,196 kes bersamaan 92.75 peratus.

"Hingga kini, sembilan individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 di negara ini sekali gus kekal 128 kes iaitu 1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 4:59pm
    d