utama

Bukan kes noda

Oleh Agensi

New Delhi: Selepas hampir dua dekad, seorang lelaki di India dibebaskan daripada tuduhan merogol bekas teman wanitanya.

Ia susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang mendapati terdapat bukti bahawa 'kesalahan' itu sebenarnya perbuatan suka sama suka.

Selain itu, mahkamah mendapati mangsa hanya membuat laporan polis selepas mendapat tahu lelaki itu mahu berkahwin dengan wanita lain.

Hakikatnya, wanita itu mahu membalas dendam kerana bekas teman lelakinya mungkir janji untuk mengahwininya.

Gulf News melaporkan mahkamah membebaskan tertuduh selepas mendapati dia dan 'mangsa' adalah pasangan kekasih yang melakukan hubungan intim.

Hakim membuat keputusan itu berdasarkan bukti iaitu surat dan gambar lelaki terbabit bersama bekas kekasihnya itu.

Justeru, mahkamah berpendapat mustahil bagi wanita yang mendakwa diancam dengan pisau sebelum dirogol untuk menulis surat cinta kepada perogolnya.

Tambahan lagi, wanita terbabit terus menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan selama empat tahun, sebelum dia melaporkan dakwaan rogol itu.

Difahamkan, wanita yang mendakwa menjadi mangsa itu mulanya berdiam diri selepas melakukan hubungan intim dengan bekas kekasihnya.

Dia mendakwa memandangkan lelaki itu berjanji untuk mengahwininya.

Namun, dia berubah fikiran dan bertindak memfailkan kes selepas mendapati kekasihnya curang.

Menurut laporan media tempatan, kes itu difailkan seminggu sebelum tertuduh melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain.

Berhubung perkara ini, mahkamah berpendapat 'mangsa' sebenarnya sudah mengetahui mereka tidak dapat berkahwin kerana perbezaan agama.

Namun, mahkamah tidak dapat memastikan sama ada tertuduh benar-benar mahu mengahwini bekas kekasihnya itu.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:35am
d