utama

Permulaan baharu Ismail Izzani

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEMUNCULAN penyanyi remaja, Ismail Izzani memberi pilihan baharu kepada pencinta muzik tempatan sekali gus menjadikan dirinya berbeza dengan kebanyakan penyanyi baharu yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) ketika itu.

Bermula dengan Sabar sehinggalah Nyawa, Ismail, 20, atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri sentiasa menampilkan bunyi segar dalam lagu yang dipersembahkan.

Terbaharu, buat kali pertama, Ismail Izzani yang pernah digelar Justin Bieber Malaysia tampil dengan lagu berentak R&B dan hip hop.

Lagu berjudul Ada Cara itu disifatkan Ismail sebagai sesuatu yang jauh berbeza daripada semua single yang pernah dilancarkan sekali gus mengetengahkan sisinya yang lebih matang dalam berkarya.

"Ramai tahu muzik saya sinonim dengan lagu pop seperti lagu Sabar, tapi itu hanyalah 60 peratus daripada saya. Genre utama saya adalah R&B dan itu yang saya mahu sampaikan menerusi Ada Cara.

"Lagu Sabar adalah zaman saya bergelar 'budak', tapi menerusi lagu ini saya mahu tunjukkan kematangan saya dari segi imej dan muzik saya.

"Jujurnya, lagu ini adalah langkah besar untuk saya tapi berasakan ini adalah masa yang sesuai untuk permulaan baharu bagi diri saya," katanya.

Menurut Ismail yang juga anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam, lagu itu juga bagi memenuhi permintaan ramai peminatnya yang lebih menggemari dirinya menyanyi lagu rancak.

"Ramai yang mahukan saya tampil dengan lagu seperti lagu Luar Biasa dan Bidadari. Sebab lagu Nyawa yang saya keluarkan awal tahun ini adalah lagu balada.

"Saya tak menafikan Nyawa kurang mendapat sambutan berbanding Luar Biasa dan Bidadari. Tak mengapa, sekurang-kurangnya dalam profil nyanyian saya, saya sudah mempunyai sebuah lagu balada akustik," katanya.

Ismail juga berkongsi yang mana Ada Cara sudah dirangka dari tahun lalu, namun terpaksa ditunda pelancarannya ekoran kurang yakin.

Mesej yang disampaikan menerusi lagu itu juga dikatakan agak berat, kerana ia berkisarkan mengenai percintaan di antara pasangan yang berbeza agama.

Pun begitu tegas Ismail, ia bukanlah mengenai dirinya sebaliknya pengalaman rakannya yang dijadikan sebagai ilham.

Dalam masa sama, tidak hanya dari segi muzik dan tarian, Ismail juga mengakui dia mahu tampil lebih segar dari segi imejnya.

Disebabkan itu, Ismail mengambil keputusan untuk aktif bersenam dan membina otot badan supaya tampil lebih matang.

"Sebenarnya sudah lama saya mula membina badan, tapi saya berhenti sekejap. Apabila saya berhasrat untuk tampil dengan imej baharu, jadi saya fikir mengapa tidak kembali membina badan.

"Saya kerap ke gimnasium, berlatih dan menjaga pengambilan pemakanan. Saya tak mahu lagi orang nampak saya seperti budak yang dulu, saya mahu mereka lihat saya pada yang lebih matang," katanya.

Namun, Ismail tidak dapat mengelak komen netizen yang mengatakan dia gemar menayang badan di laman sosial.

"Bukan saya saja berbuat demikian, ada artis lain juga, jadi ia bukan isu. Sebenarnya gambar yang dimuat naik itu juga sebagai motivasi pada orang di luar sana.

"Ramai juga yang bertanya bagaimana saya membina badan dan sekiranya kita melihat pada sudut positif, ia adalah motivasi yang baik bagi pengikut saya," katanya.

Bagi Ismail, dengan sikapnya yang konsisten ke gimnasium dan menjaga pemakanan, secara tidak langsung membantu dirinya lebih berdisiplin.

Dalam perkembangan lain, Ismail juga terbabit dalam penggambaran drama Lelaki Lingkungan Cinta yang bakal ditayangkan di slot Lestary, TV3.

Drama terbitan Zeel Productions itu menampilkan gandingan Ismail bersama Naim Daniel, Shasha Abedul dan ramai lagi.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 6:00am
d