utama

Wanita maskulin

Oleh Agensi

Moscow: Status kewanitaan atlet angkat besi Rusia menjadi pertikaian apabila fizikal badannya menggambarkan susuk tubuh seorang lelaki.

Anna Turaeva, 42, menjuarai enam kali kejohanan angkat berat dunia dan lapan kali di Eropah dihalang daripada menaiki pesawat dari St Petersburg ke Krasnodar.

Penampilannya sememangnya maskulin semula jadi selepas menjalani latihan bina badan dan angkat berat bertahun-tahun, namun dia masih menganggap dirinya wanita.

Turaeva berkata, kakitangan keselamatan mengesyaki dia sebenarnya lelaki berpenampilan sebagai wanita.

Dakwanya, pihak berkenaan menyoal siasatnya termasuk bertanyakan soalan berbentuk peribadi dan keterlaluan untuk mengesahkan jantinanya.

Katanya, dia cuba menjelaskan kepada wakil syarikat penerbangan bahawa mereka tersilap dan meminta supaya merujuk butiran di dalam pasport.

"Mereka tidak mahu melepaskan saya di pusat pemeriksaan sedangkan semuanya tertulis dalam pasport bahawa saya memang wanita.

"Pengalaman ini sangat memalukan, saya ditegur macam kanak-kanak dan disoal siasat dengan soalan terlalu peribadi di depan ramai orang yang berbaris untuk menaiki pesawat sama.

"Selepas beberapa kali cubaan menjelaskan saya wanita, akhirnya saya dibenarkan menaiki pesawat," katanya dalam catatan di media sosial seperti dipetik portal Oddity Central.

Syarikat penerbangan Utair juga mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Turaeva atas layanan tidak sepatutnya dan kesilapan itu sudah diperbetulkan.

Penampilan maskulin Turaeva sudah lama menarik perhatian ramai, terutama ketika gambarnya mengenakan pakaian lelaki tersebar di Internet.

Turaeva dilahirkan normal, tetapi kerap jatuh sakit dan menghabiskan usianya bermula enam hingga 15 tahun di pelbagai hospital.

Pengalaman sukar inilah membentuk penampilan dirinya supaya lebih kental dan bercita-cita tinggi.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 7:01am
d