utama

317 kes baharu Covid-19, tertinggi pernah direkodkan [METROTV]

Oleh Wartawan HM

Putrajaya: Penularan Covid-19 melonjak 317 kes hari ini, jangkitan tertinggi pernah direkodkan sejak wabak itu mula dikesan di negara ini pada awal Februari lalu.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak berkenaan dalam negara sebanyak 12,088 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 1,735 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua 317 kes baharu dilaporkan itu membabitkan penularan tempatan dan tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau berkata, daripada 317 kes penularan di dalam negara, 303 kes dikesan dalam kalangan warganegara dan 14 kes bukan warganegara.

Katanya, sebanyak 37 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah dan ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 176 kes.

"Penularan tertinggi direkodkan di Sabah dengan 155 kes diikuti Kedah (102 kes) dan Selangor (32 kes).

"Kes penularan Covid-19 di negeri lain membabitkan Terengganu (9 kes), Kuala Lumpur (4 kes), Johor (4 kes), Sarawak (3 kes), Pulau Pinang (3 kes), Kelantan (2 kes), Putrajaya (2 kes) dan Negeri Sembilan (1 kes)," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ada 121 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 10,216 kes.

"Sehingga kini, 29 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat 137 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 5:57pm
    d