utama

Semangat membara Hawa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SESEKALI bertukar penampilan memang nampak perbezaan pada pemilik wajah jelita, Hawa Rizwana.

Dia kini semakin ligat dan menyerlah menerusi tiga program utama di TV3 iaitu pembaca berita Buletin Utama, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) dan Hello Doktor.

Hawa, 25, berkata, perkara dilalui menampilkan cabaran berbeza yang menuntut kekuatan semangat dan kesabaran yang tinggi.

"Awalnya saya sudah biasa dengan berita TV9 bermula dari 2 September 2017 sehingga 28 Disember 2019. Kemudian pada Januari 2019 sehingga sekarang pula di Buletin TV3.

"Untuk berita alhamdulillah saya dah biasa, tapi saya masih belajar cara untuk menyampaikan dengan okey," katanya membuka perbualan.

Sebagai penyampai, Hawa mengakui perlu sentiasa 'up to date' dan peka dengan situasi di sekeliling.

"Kita kena tahu apa yang disampaikan dan bukan sekadar menyampaikan. Selain berita, WHI dan Hello Doktor mengupas kandungan yang berbeza. Topik WHI lebih kepada gaya hidup dan pengetahuan wanita dan agak mencabar tapi saya menyukainya.

"Hello Doktor pula memang satu program yang saya suka kerana topiknya berkaitan dengan kesihatan, sama ada mental atau fizikal. Saya seorang yang sangat ambil tahu terutama mengenai kesihatan," katanya.

Hawa berkata, niatnya sebagai pembaca berita dan pengacara adalah melakukan yang terbaik bagi menyampaikan informasi kepada rakyat Malaysia.

"Sebagai orang depan kamera menyampaikan berita, saya diberi tanggungjawab yang besar untuk menyampaikan maklumat dengan tepat, cepat dan sempurna.

"Apa jua masalah yang kita ada, apa pun perasaan yang kita alami, kita letak di belakang, kosongkan fikiran dan paling penting niat elok-elok untuk sampaikan maklumat yang sah. Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar dan apa-apa masalah pun, kita boleh uruskan selepas kita selesaikan kerja," katanya.

Menurutnya, setiap kali mahu membaca berita, dia perlu fokus dan pastikan telefon dilupakan buat seketika.

"Jangan baca mesej atau e-mel kerana itu masanya untuk saya fokus dan berikan yang terbaik. Begitu juga cara saya amalkan untuk mengacara program lain. Kalau ada yang jadikan saya idola, saya hanya mampu ucapkan alhamdulillah.

"Setiap daripada kita pun mengidola seseorang untuk berjaya seperti individu terbabit atau lebih berjaya daripada dia," katanya memberitahu apa yang dilakukan bukan untuk membangga diri sebaliknya sebagai inspirasi kepada semua.

Tawaran sebagai pembaca berita di Buletin TV3 dan Buletin Utama hadir pada usianya 23 tahun.

Hawa berkata, ia tanggungjawab yang berat tapi khabar ini amat menggembirakan.

"Tiga hari sebelum 'on air' saya tak ceritakan pada sesiapa kecuali ayah dan emak. Mereka orang pertama yang saya hubungi untuk beritahu kerana nak mereka doakan yang terbaik. Ayah sentiasa nasihatkan kekalkan kredibiliti, jaga penampilan, jaga diri, jaga akhlak dan sentiasa rendah diri," katanya.

Menangani tekanan

Tidak sah jika hidup setiap kita tanpa tekanan.

Hawa memilih bercerita kepada bapanya dan kawan sekolah yang rapat sejak kecil.

"Tapi biasanya saya luahkan kepada ayah kerana dia lebih dulu makan garam. Dengan ayah lebih kepada hal kerja, manakala emak pula hal peribadi.

"Jadual saya sekarang padat kerana selain kerja saya juga belajar. Tapi apa yang saya belajar apabila dewasa ialah okey untuk kita kata 'tidak' dan kita kena tahu apa yang perlu diutamakan.

"Pada masa sama, saya kena juga ada masa untuk keluarga. Sesibuk mana pun kena ingat juga keluarga dan kawan. Apabila jumpa mereka tekanan berkurangan dan saya kembali gembira. Mereka antara motivasi saya untuk bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Ditanya berkenaan cuti, Hawa mengakui sukar untuk bercuti termasuk semasa musim perayaan.

"Kalau cuti, saya akan manfaatkannya dengan tinggal di rumah, 'hibernate', tidur, buat senaman ringan dan rehat. Tapi kalau diberi pilihan untuk bercuti, saya akan pergi pantai untuk relaks dan habiskan baca buku yang dibeli tapi belum habis dibaca," katanya.

Mengulas ciri-ciri lelaki idaman, Hawa berkata, jejaka itu perlu memenangi hati ibu bapanya terlebih dahulu sebelum memiliki hatinya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 6:00am
d