utama

Anggap barah seperti 'rakan'

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya anggap penyakit seperti rakan, bukan musuh dan cuba cari ikhtiar untuk merawatnya sehingga sembuh," demikian luah bekas penghidap barah limfoma, Wasilatur Razinah Yutiman.

Peniaga pasar tani dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Wasilatur, 28, boleh digelar wanita yang tabah kerana bukan sekali tetapi dua kali dia diuji dengan barah limfoma dalam tempoh dua tahun iaitu pada 2017 dan 2019.

Berkat kesabaran dan sokongan keluarga, Wasilatur yang menetap di Kampung Serting Ilir, Bahau, Negeri Sembilan mampu melalui fasa ujian itu dengan hati yang reda.

Lebih menggembirakannya apabila disahkan bebas daripada penyakit itu Mei lalu selepas menjalani rawatan disyorkan doktor.

Berkongsi pengalamannya sebagai penghidap barah, Wasilatur berkata, doktor mengesahkannya menghidap barah pada Jun 2017 selepas melakukan pemeriksaan berikutan terdapat benjolan pada lehernya.

"Macam tidak percaya kerana tiada ahli keluarga yang pernah mengalaminya jadi berita itu membuatkan saya murung dan menangis di dalam bilik selama seminggu.

"Keluarga yang banyak beri sokongan dan mengembalikan semangat saya untuk meneruskan hidup seperti biasa.

"Lagipun, sampai bila hendak menangis kerana ramai lagi yang lebih susah dan hidup menderita daripada saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Wasilatur, dia pernah menjalani 15 sesi rawatan radioterapi dan 12 sesi kemoterapi ketika kali pertama menghidap barah sebelum disahkan sembuh pada September 2018.

Namun, kelegaannya cuma seketika apabila penyakit itu kembali menyerangnya pada Mei tahun lalu.

"Doktor mengesahkan saya menghidap barah kali kedua selepas melakukan pemeriksaan kerana terdapat bengkak di tengah dada.

"Jujurnya, saya sudah bersedia sebelum menerima pengesahan doktor lagi kerana pernah melalui fasa sama sebelum itu.

"Jadi, saya ikut saja nasihat doktor dan jalani rawatan disyorkan iaitu sembilan kaki sesi kemoterapi diikuti pemindahan tulang sum-sum pada Disember lalu," katanya.

Wasilatur berkata, penyakit dihidapinya sedikit pun tidak memberi kesulitan untuknya melakukan rutin harian dan pekerjaan seperti biasa.

"Seminggu saja bersedih kemudian saya kembali kerja seperti biasa, pagi berniaga di pasar tani, sebelah petang pula mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Muda Serting.

" Di samping itu, saya juga aktif mendaki sejak Julai lalu dan sehingga kini sudah menawan empat puncak bukit iaitu Bukit Taisho, Senaling, Batu Putih dan Sikai serta dua gunung, Angsi dan Datuk.

"Semua ini tidak dapat saya lakukan tanpa sokongan insan sekeliling terutama keluarga, rakan , doktor dan jururawat yang selama ini membantu.

"Diharap, pesakit lain terus cekal dan jangan sesekali berputus asa sebaliknya percaya ada hikmah dj sebalik ujian diberi," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2020 @ 9:43pm
d