utama

25 juta tonton aksi 'tenung' kamera

Oleh Agensi

Jakarta: Hanya termenung memandang kamera namun ia mampu meraih 25 juta tontonan.

Itu antara video yang kini tular di TikTok yang menjadi antara aplikasi media sosial pilihan ramai.

Pengguna TikTok bernama @anhtrantan yang dipercayai dari Indonesia sebelum ini berkongsi beberapa video berlatarkan muzik rancak menerusi aplikasi itu.

Namun, tidak seperti pengguna TikTok lain yang bertungkus-lumus mencari 'pengisian' menarik termasuk menari bagi meraih tontonan tinggi, lelaki terbabit keluar daripada kebiasaan apabila hanya berkongsi video dia termenung memandang kamera tanpa dialog.

Videonya itu meraih tontonan tinggi sehingga ramai warganet hairan bagaimana ia mampu mendapat jutaan tontonan.

Namun, tidak kurang yang menganggap tindakan itu lucu dan lain daripada kebiasaan.

Pengguna Twitter, Riza Garjelo Manalo dalam komennya turut terkejut bagaimana video sedemikian mampu mendapat tontonan tinggi.

Bagi pengguna lain dikenali sebagai Anjim pula, dia menyifatkan ia adalah 'kuasa' apabila seseorang berdiam diri.

Sebelum ini, Oddity Central melaporkan seorang pelakon amatur di China menjadi popular selepas video tidurnya menerusi penstriman secara langsung di platform Douyin, menjadi tular.

Pada awalnya, Yuansan dari Jiangxi dikatakan melakukan penstriman itu bagi mengetahui sama ada dia benar-benar berdengkur.

Bagaimanapun, selepas bangun tidur, lelaki itu terkejut apabila mendapati video selama kira-kira lima jam itu ditonton lebih 100,000 kali.

Malah, video berkenaan tular menyebabkan salurannya merekodkan 800,000 pengikut baharu.

Yuansan kemudian mengulangi tindakan sama sehingga salurannya merekodkan 18.5 juta tontonan dan diikuti hampir sejuta orang.

Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:35am
d