utama

375 kes baharu Covid-19, 5 kematian [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penularan Covid-19 menunjukkan penurunan kes apabila sebanyak 375 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu dalam negara sebanyak 14,368 kes dengan kebolehjangkitan 3,703 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu dilaporkan itu, hanya empat kes import, selebihnya membabitkan penularan tempatan.

Beliau berkata, penularan tempatan pula membabitkan 342 kes jangkitan dalam kalangan warganegara dan 29 kes bukan warganegara.

"Dalam kes penularan di dalam negara itu, 18 kes adalah individu yang pulang dari Sabah sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 September lalu adalah sebanyak 301 kes.

"Selain itu, 18 kes dikesan dari Kluster Tembok, Kluster Benteng LD dan Kluster Penjara Reman Pulau Pinang.

"Kesemua kes positif dalam kluster terasing ini adalah di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergeraan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dan penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat.

"Sebanyak 50 kes lagi adalah dari lain-lain kluster manakala 303 kes dalam komuniti dan empat kes import," katanya dalam sidang media yang dilangsungkan di kediaman beliau, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, ada 18 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 10,519 kes.

"Sehingga kini, 60 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 20 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, lima kes kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah 146 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:18pm
    d