utama

Masjid ditutup, jemaah positif Covid-19

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangguhkan solat Jumaat, solat fardhu lima waktu dan aktiviti pengimarahan di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, di sini, bermula waktu Asar pada 8 Oktober sehingga diberitahu kelak.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penangguhan itu dilaksanakan berikutan seorang jemaah yang hadir solat Jumaat pada 2 Oktober lalu didapati positif Covid-19.

"Mengikut rekod, bilangan jemaah yang hadir solat Jumaat pada hari itu seramai 1,310 orang.

"Oleh itu, Jais menyeru kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada hari berkenaan di masjid itu tampil segera melakukan saringan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya bergejala atau melakukan kuarantin kendiri di rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, situasi ini juga akan dibincangkan dengan terperinci di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pengawasan SOP Masjid & Surau.

"Mesyuarat akan dipengerusikan saya untuk keputusan selanjutnya mengenai kedudukan masjid ini dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, Jais hanya membenarkan tiga petugas dari kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa untuk mengumandangkan azan dan melaksanakan solat fardhu.

"Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sudahdilaksanakan oleh pihak pentadbir masjid hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 9, 2020 @ 11:03pm
    d