utama

Anwar dakwa dapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen

Oleh Shamran Sarahan; Amir Abd Hamid; Yusmizal Dolah Aling; Nurul Hidayah Bahaudin; Hajar Umira Md Zaki dan Mohamad Fais Jusoh.

Kuala Lumpur: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Beliau berkata, dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen menyokongnya sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

"Saya pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menunaikan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara untuk menelaah dokumen dan memanggil ketua parti mengesahkan (dokumen).

"Ini bukan soal kemenangan tetapi memohon kita dapat tegakkan negara yang adil, maju dan adil. Jaminan tentang hak tetap terpelihara," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Anwar mendakwa kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini sudah jatuh.

Turut hadir isteri Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam sidang media itu, Anwar turut memberi jaminan akan mengeluarkan senarai Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Hari ini, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, di sini, jam 10.25 pagi.

Beliau yang menaiki kereta jenis Jaguar berwarna hitam dilihat keluar dari Istana Negara dengan diiringi sebuah lagi kenderaan jenis Volkswagen berwarna hitam pada jam 11.30 pagi.

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, beliau mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Berita berkaitan

Menanti Anwar [METROTV]

Anwar tiba di Istana Negara [METROTV]

'Semoga dipermudahkan' - Anwar Ibrahim

Anwar tersenyum [METROTV]

Sidang media Anwar jam 2 petang

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 2:35pm
d