utama

Perintah darurat di Thailand

Oleh AFP

Bangkok: Kerajaan Thailand mengumumkan perintah darurat dan mengharamkan perhimpunan membabitkan lebih daripada empat orang.

Selain itu, ia tidak membenarkan hantaran (posting) dalam talian yang dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Ia bagi mengekang usaha kumpulan prodemokrasi yang mengadakan tunjuk perasaan aman bagi mendesak perdana menteri meletak jawatan.

Aktivis pelajar menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran sejak Julai.

Ia bagi mendesak Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha yang juga bekas jeneral tentera yang merampas kuasa enam tahun lalu, supaya meletak jawatan.

Jurucakap kerajaan berkata, mengikut perintah darurat itu, pihak berkuasa boleh merampas sebarang peralatan komunikasi elektronik dan senjata yang boleh menimbulkan huru-hara.

Dalam laporan lain AFP melaporkan lebih 20 orang ditahan termasuk pemimpin kumpulan prodemokrasi ditahan susulan penguatkuasaan perintah darurat berkenaan.

Mereka ditahan susulan perhimpunan membabitkan ribuan orang di sini, termasuk di laluan yang dilalui oleh konvoi kenderaan diraja.

Ketika konvoi itu melalui jalan berkenaan, kebanyakan peserta menunjukkan tabik tiga jari sebagai simbolik mendesak perubahan demokrasi.

Tabik gaya itu mengambil contoh daripada kisah dalam filem popular Hollywood, Hunger Games.

Selain itu, peserta perhimpunan mahukan perubahan dalam sistem monarki negara itu, yang menjadi topik yang tabu untuk masyarakat Thailand.

Raja Thailand adalah individu paling berkuasa di negara itu dengan sokongan tentera dan golongan billionaire.

Beliau yang banyak menghabiskan masanya di luar negara tetapi kembali ke Bangkok sejak beberapa hari lalu bagi menyertai upacara keagamaan Buddha.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 11:24am
d