utama

Nilai Liga M RM1b

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Nilai penswastaan Liga Malaysia (Liga M) boleh mencecah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya semua kelab bergerak secara profesional dan ekosistem industri bola sepak berada dalam senario harmoni.

Bagaimanapun, perancangan berkenaan boleh terganggu sekiranya salah satu daripada empat komponen iaitu hak penyiaran, penajaan, jualan tiket perlawanan dan cenderamata tidak bergerak atau terhalang berikutan ekosistem yang tidak sihat sekali gus boleh membawa masalah kepada sesebuah liga.

Ini kerana, setiap satu daripada komponen itu saling berhubung dan ia perlu bergerak selari untuk mencapai objektif penswastaan iaitu untuk meraih keuntungan selepas semua pasukan Liga M melengkapkan proses penswastaan 30 September lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ishak Abd Rahman berkata, langkah penswastaan yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaras dengan arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sememangnya baik untuk merancakkan industri bola sepak negara.

"Bagi saya, penswastaan ini ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya adalah kita akan dapat lihat liga kita bertambah kompetitif dan keyakinan penaja juga bertambah untuk melabur.

"Tetapi keburukannya adalah 'timing' penswastaan macam tak kena pada masanya. Memang kita tahu perkara (penswastaan) dah lama dirancang, tapi bila adanya Covid-19 ia dah beri kesan kepada perancangan itu. Saya lihat mereka (Persatuan Bolasepak Malaysia) kena tangguhkan dahulu kerana jika situasi Covid-19 ini berterusan hingga tahun depan, industri bola sepak mungkin tak boleh nak kekal.

"Kita kena akui tanpa penaja dan jualan tiket, pasukan agak sukar untuk berkembang. Nak pula dah swasta, tidak ada lagi bantuan kerajaan negeri, jadi situasi akan bertambah sukar kepada pasukan. Tapi jika hak siaran televisyen berjaya ditingkatkan dan pemain bola sepak pula boleh mengurangkan gaji, saya fikir ia boleh diselamatkan untuk sementara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Berdasarkan pengiraan secara kasar, hak penyiaran memberi keuntungan membabitkan 40 peratus, penaja 30 peratus, 20 peratus tiket dan baki 10 peratus cenderamata. Dianggarkan sekurang-kurangnya RM10 juta diperlukan untuk menguruskan sebuah pasukan di Liga Super manakala RM5 juta membabitkan kelab di Liga Perdana.

Begitupun, menerusi pengagihan wang penyiaran pada awal musim ini, setiap pasukan Liga Super diberi sejumlah RM1 juta dan RM500,000 buat Liga Perdana.

Sementara itu, bagi seorang lagi pakar ekonomi dari Sekolah Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zulkornain Yusop, misi penswastaan Liga M bakal berdepan cabaran genting di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi semasa.

Jelasnya, syarikat swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang mungkin melihat bola sepak bukan satu pelaburan baik buat masa ini.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 6:31am
d