utama

'Tiada jaminan bila sembuh'

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Ini pekerjaan pertama dilakukan sejak saya diberhentikan kerja tahun lalu. Hanya ini yang mampu dilakukan buat masa ini untuk menyara keluarga," kata pesakit barah kelenjar tahap empat, Muhammad Khairizal Mahadi, 25, yang kini menjual baju tidur untuk menyara anak tunggalnya dan isteri selain menampung kos membeli keperluan diri.

Dia yang menetap di Lembah Jaya, Ampang, Selangor, berniaga kecil-kecilan sejak bulan lalu dengan mempromosi perniagaan secara dalam talian.

Melalui usaha dilakukan itu, dia menjual baju tidur kanak-kanak dan dewasa pada harga RM10 hingga RM25 sehelai.

Dia yang memiliki anak perempuan berusia tujuh tahun itu tidak berseorangan sebaliknya dibantu isteri untuk mengambil pesanan dan membuat penghantaran kepada pelanggan.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Khairizal berkata, perniagaan itu adalah usahanya untuk mencari rezeki selepas hilang sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja oleh majikan, tahun lalu.

"Dahulu saya bekerja sebagai juruteknik, tetapi diberhentikan kerana kerap mengambil cuti sakit.

"Ia berpunca daripada masalah kesihatan sejak pertengahan tahun lalu apabila saya berulang kali demam.

"Ingatkan demam biasa, rupanya ia melarat hingga adanya simptom barah iaitu kelenjar pada leher. Hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan saya menghidap barah tahap empat pada April lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun sedih, Muhammad Khairizal tiada pilihan melainkan akur dengan ketentuan Allah SWT.

Berikutan keadaan kesihatannya yang tidak menentu, isterinya juga terpaksa meletak jawatan sebagai kerani akaun di sebuah syarikat bagi menjaga dan memberi tumpuan terhadapnya.

"Tipu jika saya katakan tidak sedih kerana saya ketua keluarga, tetapi tidak dapat lagi bekerja untuk menyara anak dan isteri seperti dulu.

"Namun, ini dugaan yang perlu saya tempuh dan hidup perlu diteruskan.

"Alhamdulillah, isteri banyak membantu dan memberi sokongan untuk saya terus cekal. Saya juga bersyukur kerana ada jiran yang memahami dan sudi menjaga anak ketika isteri menemani serta menguruskan saya di hospital," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia sudah menjalani sembilan sesi rawatan kemoterapi di Hospital Ampang dan doktor tidak memberi jaminan bila penyakitnya boleh sembuh.

Muhammad Khairizal berkata, dia hanya mampu menjalani rawatan disyorkan dan terus berdoa.

"Wang yang ada perlu digunakan untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas disyorkan oleh doktor.

"Itu belum termasuk komitmen sewa bulanan rumah RM750 dan bayaran caj pemeriksaan tomografi berkomputer (CT Scan) dan lain-lain.

"Buntu juga memikirkannya. Namun sejak kisah saya dikongsikan di laman sosial, banyak pesanan diterima daripada pelanggan.

"Malah, ada yang tidak membeli, tetapi sekadar menyumbang dan kebaikan mereka membuatkan saya terharu," katanya.

Muhammad Khairizal berkata, selagi termampu, dia dan isteri akan cuba berikhtiar tanpa menyusahkan individu sekeliling.

"Saya dan isteri cuba mengelak daripada meminjam wang daripada orang lain kerana bimbang tidak mampu membayar hutang.

"Jadi, buat masa ini, biar kami berniaga kecil-kecilan dan wang diperoleh itu dijadikan modal pusingan dan selebihnya disimpan untuk kegunaan pada waktu kecemasan," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:30am
d