utama

Markas sindiket didalangi warga China diserbu, RM2.5 juta dirampas [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis membongkar kegiatan sindiket dipercayai terbabit dengan aktiviti mempromosikan pelacuran, penipuan serta urus niaga mata wang krypto bagi pasaran di China yang membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM2.5 juta.

Wang tunai berkenaan ditemui di dalam tiga beg pakaian oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Desa Bukit Tiara, di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan di rumah berkenaan dilakukan susulan serbuan di sebuah kondominium di Kajang, Selangor, 2 petang, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 21 hingga 28 tahun.

"Hasil tangkapan itu, kami membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Desa Bukit Tiara yang membawa kepada penahanan lapan lagi individu termasuk dua warga tempatan berusia antara 22 hingga 48 tahun.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap beberapa bilik di rumah berkenaan menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang diletakkan di dalam tiga beg pakaian berasingan," katanya ketika ditemui pada sidang media di rumah berkenaan, malam tadi.

Huzir berkata, siasatan dilakukan terhadap dua komputer riba di unit kondominium di Kajang terbabit mendapati sindiket berkenaan dipercayai melakukan aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran di China.

"Malah, siasatan dilakukan juga mendapati terdapat kegiatan seakan penipuan dikesan dilakukan sindiket berkenaan yang mensasarkan mangsa di China.

"Pemeriksaan terhadap komputer di rumah ini pula (Jalan Desa Bukit Tiara) pula mendapati terdapat aplikasi yang menjurus kepada urus niaga mata wang krypto.

"Berdasarkan penemuan ini, kami percaya sindiket ini menjalankan kegiatan haram bagi pasaran China dan kami tidak menolak kemungkinan wang tunai yang ditemui berkenaan adalah hasil aktiviti (haram) berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati semua suspek warga China yang ditahan dipercayai berada di negara ini dan menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lalu.

"Kami percaya dua warga tempatan yang ditahan dalam serbuan ini berperanan sebagai koordinator kepada sindiket berkenaan. Antara tugas mereka termasuk mencari rumah untuk dijadikan sebagai pusat operasi sindiket terbabit.

"Kami percaya ada banyak pusat panggilan seumpama ini di sini (negara ini) yang menjalankan kegiatan haram dengan pasaran di China termasuk aktiviti penipuan seperti Macau Scam.

"Justeru, ada kemungkinan sindiket ini juga terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram kerana wang sebanyak itu (RM2.5 juta) tidak disimpan di dalam bank seperti kebiasaannya," katanya.

Katanya, dalam serbuan di dua lokasi berasingan, pihaknya turut merampas lima komputer riba, dua tablet, 24 telefon bimbit dan sejumlah dadah sintetik selain wang tunai kira-kira RM2.5 juta berkenaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalahan mempromosikan kegiatan pelacuran.

"Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 2:18am
d