utama

Pegawai penyiasat didapati cuai

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Hasil siasatan dijalankan sepasukan polis Bukit Aman sejak bulan lalu memutuskan siasatan dilakukan pegawai penyiasat terhadap kes kematian tiga beranak yang maut terbakar termasuk Pablo Escobar Langkawi atau nama sebenarnya, Mohd Nahar Suhaimi, 39, sebagai satu kecuaian.

Mohd Nahar mendapat jolokan berkenaan selepas dipercayai 'dipayungi' seorang anggota polis bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dan memutuskan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai penyiasat terbabit.

"Malah, satu jawatankuasa khas juga akan dibentuk bagi menentukan jenis atau bentuk tindakan tatatertib bakal dikenakan kepada pegawai penyiasat terbabit," katanya tanpa mendedahkan siapa dan jumlah ahli jawatankuasa berkenaan.

Katanya, bagi kes kematian yang sebelum ini diputuskan sebagai kematian mengejut (SDR), polis sudah mengklasifikasikan kes itu semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan seperti didedahkan sebelum ini," ujarnya.

Tindakan itu diambil susulan laporan khas akhbar ini bertajuk Konspirasi atau Tragedi yang disiarkan 4 September lalu, sebelum pihak polis Bukit Aman mengklasifikasikan kematian tiga beranak dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Langkawi, pada 1 April 2019 sebagai kes bunuh.

Dalam laporan khas siri kedua Harian Metro pula melaporkan kematian Pablo Escobar Langkawi dalam kes kebakaran di kediamannya adalah misteri dan dipercayai terdapat unsur jenayah.

Laporan itu mendedahkan, berdasarkan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkenaan menemui sisa petrol dalam rumah itu dan ia sekali gus menolak kemungkinan kebakaran berpunca litar pintas.

Untuk rekod, kebakaran itu mengorbankan pasangan suami isteri, Mohd Nahar Suhaimi, 39; Nor Suhaila Ahmad, 41, serta anak lelaki mereka, Mohd Naufal Mohd Nahar, enam tahun.

Namun, selepas setahun kes itu 'disenyapkan', akhbar ini membuat pendedahan bahawa kes kematian itu mempunyai unsur jenayah.

Pendedahan itu mengaitkan laporan unsur jenayah yang ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam siasatan mereka namun polis mendiamkan kes berkenaan.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 7:30am
d