utama

Hilang nyawa kena terkam

Oleh Agensi

Shanghai: Sekumpulan pelancong hanya mampu melihat dalam ketakutan apabila seorang kakitangan zoo di sini, maut selepas diserang kumpulan beruang.

Daily Star melaporkan kejadian itu berlaku pada 17 Oktober lalu di sebuah kawasan di dalam zoo itu yang menempatkan beruang.

Mereka sebelum itu menaiki sebuah kenderaan khas yang membolehkan pelancong melihat hidupan itu dengan lebih dekat.

Selain itu, mereka berpeluang memberi beruang itu makan tanpa perlu keluar dari kenderaan terbabit.

Ketika kejadian, petugas berkenaan keluar dari kenderaan itu dan tidak bernasib baik apabila diserang haiwan berkenaan.

Insiden itu mendapat perhatian pengurusan zoo yang menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga kakitangannya itu.

Rakaman video insiden itu sempat dirakam dan tular selepas dimuat naik di platform media sosial popular di China, Weibo.

Menerusi rakaman yang tular, kedengaran jeritan pelancong daripada dalam kenderaan terbabit.

Berikutan insiden itu, zoo berkenaan ditutup sementara waktu untuk orang awam.

Susulan kejadian, pengurusan zoo memulangkan wang pembelian tiket.

Insiden seumpama itu dilaporkan jarang berlaku terhadap kakitangan zoo di China.

Namun, ia pernah terjadi kepada seorang pengunjung lelaki yang menjadi mangsa serangan beruang di sebuah zoo safari di China.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan memberi makanan kepada haiwan itu walaupun sudah dilarang berbuat demikian.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:30am
d