utama

Tunggu dulu!

Oleh Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada kerajaan akan membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadat umrah susulan pembukaan semula Makkah mulai 1 November ini akan diputuskan Kabinet dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaari berkata, setakat ini belum ada keputusan rasmi sama ada berhubung kebenaran bagi jemaah Malaysia mengerjakan ibadat umrah dan musim haji bagi tahun depan.

"Bagi ibadat umrah, belum ada keputusan sehingga dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

"Walaupun Arab Saudi membuka pintu bagi jemaah luar negara mulai 1 November, itu tidak bermakna kita juga akan menghantar jemaah.

"Mungkin kita akan benarkan dalam keadaan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas penggunaan aplikasi I'tamarna yang diwajibkan bagi semua jemaah bagi memantau penularan Covid-19, beliau berkata, belum ada keputusan berhubung prosedur berkenaan.

"Setakat ini, belum ada keputusan mengenai perkara itu, tetapi semua syarat ditetapkan (Arab Saudi) akan diutamakan," katanya.

Beliau berkata, berhubung kuota haji bagi tahun depan, kriteria dan jumlah jemaah masih di peringkat perbincangan.

"Sehingga saat ini, kerajaan Malaysia belum memutuskannya, ia masih lagi dalam kerangka awal perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

"Angka jemaah yang akan kerjakan haji juga belum ditetapkan. Secara umumnya, disebabkan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jemaah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 6:40am
    d