utama

NFDP berjaya bukan kerana Teong Kim aje...

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Siapa kata bekas pengarah projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim adalah pencetus kepada usaha atau gerak kerja program itu hingga berjaya melahirkan pemain muda berbakat dan hebat ketika ini.

Jika diikutkan ramai yang tidak mengetahui NFDP sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu ketika Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Penolong Pengarah Teknikal NFDP, Ibrahim Mohamed berkata, tiada siapa sebenarnya boleh mendakwa NFDP adalah hasil atau keringat individu kerana ia adalah berlandaskan cetusan idea daripada beberapa pihak yang mahukan bola sepak negara terus cemerlang pada masa akan datang.

Malah, Ibrahim juga menyatakan tiada siapa boleh 'besar kepala' atau memberi arahan sewenangnya dalam NFDP kerana semuanya adalah sama dan perlu mengadakan perbincangan bagi menentukan keputusan berkaitan masa depan program terbabit.

"NFDP dilancarkan selepas setahun dibuat kaji selidik, perancangan dan perbincangan untuk memajukan sukan bola sepak negara dan disasarkan pemain yang berumur lapan tahun pada 2010 akan layak bertanding di Kejohanan Piala Dunia Remaja Bawah Umur 17 pada 2019.

"Mulai Mei 2010 bermulalah usaha menubuhkan Unit Bolasepak di MSN serta mengenal pasti pusat di 14 negeri dan pengambilan jurulatih di seluruh negara bagi melaksanakan program NFDP ini.

"Pada peringkat awal perbincangan untuk mendapatkan calon selaku pengarah teknikal tertumpu ke arah dua legenda Belanda, Ronald Koeman dan Ruud Gullit.

"Disebabkan gaji yang mereka minta terlalu mahal, saya telah cadangkan nama Lim Kim Chon, pengarah teknikal FAM yang memiliki pengalaman luas selaku anggota kumpulan kajian teknikal Fifa," katanya.

Berita berkaitan

Bila kalah banyak tangan tuding jari

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 6:30am
d