utama

Covid-19: Kes baharu melonjak 1,228 kes hari ini [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini melonjak dan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,228 kes serta kali pertama melepasi empat angka.

Ia mengatasi kes tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu 871 kes pada 18 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kes terbanyak dengan 889 kes atau 72.4 peratus.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 25,742 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 8,966 kes.

Katanya, mereka itu sudah diasingkan dan diberi rawatan lanjut.

"Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 95 kes (7.7 peratus dari jumlah keseluruhan kes).

"Daripada 95 kes baharu itu, 29 kes (30.5 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan baharu.

"Untuk makluman, negeri-negeri ini dan juga Sabah sudah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 502 kes iaitu 41 peratus dari jumlah keseluruhan kes hari ini adalah membabitkan tahanan dalam Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok.

Katanya, kes berkenaan sememangnya terasing di dalam penjara.

"Sebanyak dua kes pula membabitkan pengunjung yang pulang dari Sabah, ia menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 September lalu adalah 468 kes.

"Daripada 1,228 kes baharu pada hari ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes berkenaan membabitkan tiga warganegara dan lapan bukan warganegara yang tiba dari Singapura (5 kes), Indonesia (3 kes), China (2 kes) dan Emiriah Arab Bersatu (1 kes)," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Menurutnya, bilangan kes pulih Covid-19 hari ini pula mencatatkan sebanyak 671 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 16,555 kes atau 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat juga tujuh pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia mencecah sebanyak 221 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, terdapat 92 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 6:32pm
    d