utama

Didakwa bunuh anak lapan bulan [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Puteh: Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kematian anak lelaki dan memukul isterinya dalam kejadian 13 Oktober lalu.

Wan Roslan Wan Mustapa, 40, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor dan tiada pengakuan direkodkan .

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Roslan didakwa menyebabkan kematian Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan, lapan bulan, di Kampung Sungai Dua, Repek, Bachok pada 10 pagi, 13 Oktober lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Roslan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isteri, Nor Hanifah Mohamad, 32, menggunakan sebatang penyapu di lokasi pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma'a Che Omar dan tertuduh diwakili peguam, Muhamad Izwan Ishak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk pemerhatian dan menetapkan 24 November untuk sebutan semula serta penyerahan tiga laporan dokumen iaitu laporan psikiatri, bedah siasat dan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam karung guni yang disorok di bahagian dapur rumah dengan badanya dilumur garam, dipercayai dibunuh bapanya menggunakan objek tumpul.

Susulan itu, polis menahan suami isteri dan tidak menolak kemungkinan kedua-duanya terbabit ajaran sesat berdasarkan penemuan mayat bayi itu.

Berita berkaitan:

  • Bantu polis kesan saksi kes bayi dibunuh bapa
  • Ibu mungkin bersubahat bunuh bayi
  • Terpaksa usung suspek bunuh anak masuk mahkamah [METROTV]
  • Dengar suara malaikat sebelum bunuh anak
  • Bapa bunuh bayi 8 bulan, lumur mayat dengan garam [METROTV]
  • Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 11:58am
    d