utama

Nak tunjuk hebat depan awek

Oleh Nur Izzati Mohamad

Seberang Prai: Seorang lelaki yang juga adik kepada suspek utama yang melarikan kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan di Tasek Gelugor, awal pagi hari ini.

Sumber berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan beberapa jam selepas abangnya berusia 32 tahun diberkas polis bersama teman wanita lingkungan usia 20-an.

Pasangan itu ditahan sekitar 2 pagi ketika menaiki MPV itu berhampiran lampu isyarat di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Sebelum itu, dua beradik berkenaan melarikan MPV terbabit dari kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada 9.15 malam semalam, dengan cara menyamar sebagai anggota polis Bahagian Sumber Teknologi Maklumat.

"Mereka turut membawa dua komputer riba dan memaklumkan kepada penyelia MPV bertugas untuk memeriksa kamera (dashcam) dalam kenderaan itu.

"Penyelia berpangkat sarjan yang tidak mengesyaki apa-apa, membenarkan suspek memeriksa, sebelum seorang daripadanya mengambil kunci dan memandu keluar dari IPD itu," kata sumber itu, hari ini.

Menurutnya, kenderaan disedari hilang selepas ia tidak dikembalikan kira-kira 30 minit sebaik kejadian dan gagal dihubungi menerusi walkie-talkie.

Difahamkan juga, suspek utama kemudiannya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor dan didakwa mahu menunjuk kehebatannya melakukan jenayah itu.

Mereka turut didakwa merancang untuk menyamun sebuah kedai runcit sebelum ke Shah Alam.

Dua beradik mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 kanun sama.

Berita berkaitan

Pasangan dicekup, larikan MPV polis

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 12:57pm
d