utama

Covid-19: 1,240 kes baharu hari ini [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahauddin

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini kembali melonjak dan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,240 kes serta kali kedua melepasi empat angka.

Ia mengatasi kes tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu 1,228 kes pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kes terbanyak dengan 927 kes atau 74.8 peratus.

"Jumlah ini melonjak semula berikutan lebih banyak pengesanan kes secara aktif dijalankan di Sabah selain mobilisasi petugas kesihatan banyak membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan.

"Sebanyak 508 kes hari ini membabitkan lima kluster membabitkan penjara iaitu Penjara Kepayan mencatatkan 439 kes, Kluster Seberang Perai (57 kes), Kluster Benteng LD (7 kes), Kluster Penjara Tapah (4) dan Kluster Tembok (1).

"Kes ini sememangnya terasing dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Menurutnya, pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 27,805 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 9,744 kes.

Katanya, mereka itu sudah diasingkan dan diberi rawatan lanjut.

"Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 194 kes (15.6 peratus dari jumlah keseluruhan kes).

"Daripada 194 kes baharu itu, 120 kes adalah daripada kluster sedia ada dan baharu.

"Untuk makluman, negeri ini dan juga Sabah sudah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu hari ini membabitkan Sabah sebanyak 927 kes, Selangor (176), Pulau Pinang (61), Negeri Sembilan (25), Kuala Lumpur (17), Perak (8), Sarawak (7), Labuan (5), Johor (4), Kedah (3), Terengganu (3) dan Melaka pula merekodkan dua kes.

"Daripada 1,240 kes baharu pada hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes berkenaan membabitkan dua warga asing dari Russia di Selangor dan Ukraine (Labuan)," katanya.

Menurutnya, bilangan kes pulih Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 691 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 17,825 kes atau 64.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat juga tujuh pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia mencecah sebanyak 236 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Semua kematian hari ini membabitkan tiga bukan warganegara dan empat warganegara di beberapa hospital di Sabah berusia antara lingkungan 27 hingga 90 tahun.

"Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 6:36pm
    d