utama

Polis tahan Ronnie Liu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu ditahan, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung status dimuat naik di media sosialnya yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Ronnie ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 10.40 pagi tadi.

"Tangkapan itu dilakukan bagi membolehkan kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Keterangannya akan dirakam dan jika semuanya selesai beliau akan dibebaskan. Apapun, ia bergantung pada keterangan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Ronnie tiba di IPD Petaling Jaya pada 10.40 pagi untuk membantu siasatan polis.

Semalam, Harian Metro melaporkan Ronnie antara empat individu disiasat berhubung isu menghina Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan itu kini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, siasatan dijalankan pada 21 Oktober lalu ke atas akaun Facebook Ronnie Liu.

Berita berkaitan:

  • Ronnie Liu antara disiasat kes menghasut, hina Agong
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 12:34pm
    d