utama

801 kes baharu Covid-19, lapan kematian [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini kekal tiga angka apabila mencatatkan 801 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29,441 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 801 kes baharu itu, 799 membabitkan warga tempatan manakala dua lagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu satu kes dari Iran dan satu kes dari Arab Saudi.

Beliau berkata, daripada kes jangkitan tempatan itu, itu, Sabah kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 546 kes.

"Negeri lain iaitu Selangor (88 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (29 kes), Kedah (28 kes), Sarawak (27 kes), Negeri Sembilan (24 kes) dan Pulau Pinang mencatatkan 19 kes baharu.

"Selain itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (13 kes), Terengganu (11 kes), Johor (lapan kes) dan Perak sebanyak enam kes.

"Ia menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 10,123 kes dan mereka sudah diasingkan serta dirawat di hospital," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 573 kes pulih Covid-19 dicatatkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 19,072 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat pertambahan lapan kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia mencecah 246 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 6:23pm
    d