utama

Jadi farah penuh realistik

Oleh Najiy Jefri

KEMAMPUAN pelakon jelita Mimi Lana dalam menjayakan sesuatu watak tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kejayaan filem Pusaka yang dilakonkannya tahun lalu di samping Syafiq Kyle berjaya membuktikan dia antara pelakon wanita berkaliber serta komited dalam setiap naskhah.

Terbaharu, pembabitan Mimi dalam drama bersiri Hati Yang Tersakiti di TV3 turut menjadi bualan ramai apabila watak Farah Azira yang dibawakan mendapat kecaman selain lakonannya turut dipuji.

Mimi berkata, sebagai pelakon dia sentiasa ingin mencabar diri dan melakukan watak yang berbeza supaya kanvas seninya lebih berwarna-warni.

"Menerusi drama Hati Yang Tersakiti ini saya memegang watak antagonis. Sudah tentu ia antara cabaran baharu yang perlu saya tempuhi. Bukan mudah nak warnakan sesuatu watak itu supaya tidak kelihatan terlalu dramatik atau dibuat-dibuat. Seboleh-boleh mungkin saya cuba nak terjemahkan watak Farah ini dengan penuh realistik.

"Saya akui masih belajar selok-belok dunia lakonan dan masih baharu dalam mendalami watak-watak seperti ini. Ia sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawa sebelum ini," katanya.

Mengakui gandingan mantap bersama Remy Ishak dan Nad Zainal menuntut kerja keras dan persiapan yang rapi, Mimi berkata, dia sentiasa belajar dan memperbaiki diri di lokasi penggambaran dengan dua pelakon hebat itu.

"Sebelum masuk set saya sudah mempersiapkan diri untuk berdepan dan bersedia mempelajari ilmu daripada mereka kerana pengalaman dan kemampuan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Rugi kalau saya tak gunakan peluang ini dengan sebaiknya. Saya seronok sepanjang penggambaran sampai tiada rasa tekanan, malah proses penggambaran jadi mudah dan lancar," katanya.

Ditanya adakah dia menerima kecaman atau ugutan sebaik membawakan watak antagonis dalam drama terbabit, Mimi berkata, setakat ini tiada ugutan diterima.

"Saya selalu percaya kalau lakonan saya dikecam maknanya lakonan saya sampai di hati mereka. Itu dah cukup melegakan saya. Setakat ini tiada ugutan diterima. Kalau ada pun mungkin mereka tak maksudkan apa-apa sebab saya yakin mereka marah dengan watak itu dan bukannya saya," katanya.

Mahu teroka lebih banyak lagi

Sejak mengintai peluang dalam dunia hiburan pada 2012, Mimi yang kini berusia 25 tahun mengakui masih belum puas dalam bidang lakonan kerana masih banyak yang perlu dipelajari.

"Sebagai pelakon sudah tentu saya tidak pernah puas . Ini adalah proses saya untuk belajar supaya dapat teroka banyak lagi watak dan tidak menjadi seorang pelakon yang stereotaip.

"Kalau boleh pada masa mendatang, saya nak berlakon banyak lagi watak dan menimba banyak lagi ilmu. Saya bercita-cita nak jadi pelakon yang setanding dengan pelakon di negara luar. Itu adalah impian saya," katanya itu antara azam tahun baharu 2021.

Menyentuh mengenai kisah peribadinya selepas mengumumkan hubungannya dengan Syafiq Kyle terlerai tahun ini, Mimi berkata, fokusnya kini adalah untuk kerjaya lakonan sahaja.

"Saya sibuk dengan persiapan filem saya yang akan memulakan penggambaran hujung tahun ini . Filem yang bergenre aksi ini adalah tanggungjawab yang berat. Saya perlu naikkan berat badan selain perlu ke gimnasium dan mengikuti kelas seni mempertahankan diri. Tiada apa yang dapat saya kongsikan mengenai kehidupan peribadi melainkan fokus saya sekarang adalah terhadap kerjaya sahaja," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 6:45am
d