utama

Hafizh umum pasukan baharu di Valencia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Teka-teki pasukan baharu yang bakal disertai pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan diketahui antara dua pusingan perlumbaan di Valencia bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan pengurus Hafizh, Razmin Masli Abdul Razak yang sebelum ini mengesahkan pelumba mendapat gelaran El Pescao itu akan kekal beraksi di Moto2 musim depan.

Dua pusingan perlumbaan akan berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia dengan yang pertama dinamakan Grand Prix (GP) Europa pada 8 November manakala GP Valencia akan berlangsung seminggu selepas itu.

"Perbincangan dengan pasukan buat Hafizh untuk musim 2021 sudah selesai dan Hafizh akan kekal di Kejohanan Dunia Moto2. Pasukan untuk musim 2021 akan berpangkalan di Eropah. "Insya-Allah, pengumuman akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

Jika perancangan semua berjalan lancar di pihak pasukan, Insya-Allah (pengumuman) semasa perlumbaan di Valencia," katanya.

Ditanya adakah pasukan yang bakal disertai Hafizh kali ini lebih kompetitif dan mampu mengembalikan semula reputasi pelumba negara itu, Razmin lebih bersikap terbuka.

"Semua pasukan Moto2 sekarang sangat kompetitif dan dapat dilihat dengan perbezaan masa yang begitu hampir. Perancangan antara pasukan dan pelumba sangat penting.

"Dengan proses pembangunan dan sokongan yang baik, Insya-Allah Hafizh akan memberikan yang terbaik.

"Saya berharap dengan selesainya perbincangan untuk 2021, Hafizh akan lebih bersemangat dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik pada baki tiga pusingan perlumbaan musim ini," katanya.

Hafizh yang ketika ini beraksi bersama pasukan Aspar, menduduki tangga ke-20 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 21 mata.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 1:11pm
d