utama

'Alamak pak cik, bahaya ni...' [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Akibat tiada kad 'Touch n Go', seorang lelaki warga emas memandu secara melawan arus di Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA) menghala ke Pusat Bandar Shah Alam, hari ini.

Kejadian pada 5 petang itu menyebabkan sebuah kenderaan terbabas manakala sebuah lagi kereta bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 73 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada mulanya lelaki itu memandu dari rumah di Seksyen 8 menuju ke pasar raya di Seksyen 13, namun tersalah jalan dan memasuki LKSA.

"Sebaik tiba di Plaza Tol Sri Muda, pemandu terbabit tiada kad 'Touch n Go' lalu berpatah balik melawan arus untuk pulang ke rumah.

"Sebuah kereta Honda City dipandu di lorong kanan cuba mengelak Perodua Kelisa melawan arus itu lalu terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan di Kilometer 3.1 Lebuhraya LKSA.

"Ketika kejadian, pemandu Honda City berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Klang hendak pulang ke rumah di Kota Kemuning dan kemudian dibawa ke hospital oleh rakannya," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Baharudin berkata, pemandu warga emas itu kemudian berlanggar dengan kereta Perodua Myvi yang datang dari arah pusat bandar Kilometer 6.6 LKSA.

Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Bukit Jelutong dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda.

"Bagaimanapun pemandu Perodua Kelisa dan Perodua Myvi itu tidak cedera.

"Ketiga-tiga pihak sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Pemandu Perodua Kelisa itu ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu," katanya.

Beliau berkata, anak kepada warga emas itu menyatakan bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam dan dia membawa bapanya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis.

Menurutnya, lelaki itu agak berumur dan kurang sihat sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian lelaki itu memandu melawan arus sejauh 2 kilometer tular di media sosial apabila dirakam pemandu lain.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 11:41pm
d