utama

'Markas' lapah haiwan

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Jadikan lokasi rumah kongsi pekerja ladang sebagai 'markas' untuk melapah haiwan liar yang berjaya dijerat secara haram menggunakan dawai kabel.

Itu kegiatan sekumpulan tujuh warga asing yang dikesan menyimpan kulit, daging dan tulang kambing gurun serta kijang yang diburu secara haram di hutan negara ini.

Kejayaan menjejaki semua suspek susulan pembongkaran dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap peningkatan kes gajah liar, tapir dan beruang yang ditemui parah akibat terpijak jerat maut ini.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan semua lelaki warga asing itu dibongkar selepas sepasukan pegawai penguat kuasa Perhilitan melakukan Operasi Bersepadu Khazanah di rumah kongsi ladang tidak jauh dari Hutan Simpan Lebir, Gua Musang, Kelantan.

Dalam operasi jam 4.30 petang semalam, penguat kuasa Perhilitan memeriksa dua rumah kongsi sebelum menahan tujuh penghuni membabitkan warga Thailand dan Myanmar.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua kepala kambing gurun dan satu kepala kijang disembunyikan dalam rumah kongsi itu

"Turut ditemui adalah kulit kijang, kuku dan daging kambing gurun selain tiga jerat kabel yang digunakan untuk menangkap semua haiwan liar dilindungi itu," katanya.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat mengaku mendapat hidupan liar itu hasil jerat yang dipasang dalam hutan sekitar rumah kongsi berkenaan.

"Susulan itu semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Harian Metro Sabtu lalu mendedahkan peningkatan kes gajah dan tapir yang cedera serta cacat susulan terpijak jerat dipasang pemburu haram.

Aktiviti itu menyebabkan gajah yang tercedera mengamuk dan menceroboh masuk kawasan penempatan hingga menimbulkan konflik dengan manusia.

Susulan itu, Perhilitan terpaksa memburu gajah cedera itu untuk diberikan rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 8:00am
d