utama

Giliran Safawi, Sumareh beraksi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selepas pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin membuat debut pertama bersama pasukan utamanya KV Kortrijk, dua lagi tonggak pasukan negara Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh turut beraksi bersama pasukan masing-masing.

Namun, pemain berasal dari Dungun, Terengganu, kemungkinan tidak akan beraksi bersama pasukan utama sebaliknya mewakili skuad Portimonense SC Bawah 23 tahun menentang Maritimo pada malam ini.

Pada masa sama, pada malam ini juga, pemain naturalisasi pertama negara turut dijangka diturunkan buat kali pertama bersama Police Tero FC menentang Muangthong FC.

Menurut Safawi, ketika ini dia lebih fokus kepada mendapatkan keserasian bersama pemain yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza terutama bersama skuad Bawah 23 tahun pasukan.

Katanya, dia tidak mahu tergesa-gesa terus menyertai skuad utama namun percaya kepada barisan kejurulatihan yang akan memberi peluang beraksi nanti.

"Saya sudah semakin serasi bersama pasukan ketika ini dan fokus adalah meningkatkan kebolehan diri seterusnya mendapat perhatian daripada barisan kejurulatihan.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam skuad utama namun ia tidak memberi tekanan kepada saya kerana fokus adalah memastikan dapat mengekalkan momentum dan sentiasa bersedia jika disenaraikan," katanya.

Untuk rekod, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul pemain kedua negara yang beraksi di liga utama Eropah selepas penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin menyertai KV Kortrijk di Belgium, Ogos lalu.

Safawi, 23, berhijrah secara pinjaman selama semusim dengan kelab utama Portugal itu dan kemungkinan ditawarkan kontrak sambungan jika prestasinya berjaya memikat barisan jurulatih.

Manakala Sumareh pula mencetus kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang dan beraksi bersama pasukan Police Tero FC sejak awal Oktober lalu.

Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 7:00am
d