utama

'Jangan takut tampil pelik'

Oleh Georgie Joseph

PADA penghujung 1990-an, penyanyi Indonesia, Anggun mencipta sejarah apabila berjaya menembusi pasaran muzik global di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Ia sekali gus membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Snow on the Sahara ini terus mengukuhkan nama Asia dalam peta muzik dunia.

Seterusnya, Anggun atau nama sebenarnya Anggun Cipta Sasmi, 46, enggan menoleh ke belakang dan meneruskan misi mencari nama gemilang di sana.

Kini, nama anak jati Jakarta ini cukup gah di Perancis selain profil seninya dikagumi di rantau itu.

Anggun dalam temu bual bersama RapXtra berkata, itulah pencapaian paling diidamkannya dan diingati sampai bila-bila. Bukan setakat populariti yang dikejar, sebaliknya impiannya menjadi penyanyi terkemuka.

"Pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an, nama orang Asia yang dikenali di Barat adalah dalam kalangan pelakon. Hampir tiada penyanyi dari Asia yang menjadi sebutan di sana ketika itu.

"Apabila saya berjaya menembusi pasaran di sana, semestinya ia pencapaian yang sangat indah. Ia membuktikan tiada yang mustahil buat orang Asia untuk mencipta nama di sana sekiranya ada kesungguhan.

"Saya cuma ingin diingati sebagai anak seni yang terkemuka berdasarkan perjuangan tanpa putus asa selama ini. Sehingga sekarang, saya masih bekerja keras untuk memastikan karya seni dihasilkan terus disegani," katanya.

Bagi Anggun, dia melihat perjuangan sebagai anak seni lebih daripada sekadar mahu mencipta nama. Tanggungjawab sebagai pengkarya muzik tidak perlu ada batasnya dan perlu berterusan melakar pencapaian luar biasa tersendiri.

Dia gembira apabila ramai nama dari Asia terutama Asia Tenggara memulakan langkah mencipta gelombang di AS. Tembok pemisah itu sudah dipecahkan dan peluang semakin terbuka luas.

Bagaimanapun, Anggun mahu melihat artis dari rantau ini berusaha bersungguh-sungguh dengan menampilkan keunikan tersendiri.

Menurutnya, mereka perlu menawarkan kelainan yang langsung tidak sama dengan pengkarya lain.

"Jangan takut untuk tampil pelik atau unik. Artis baharu perlu mencari identiti serta mencipta muzik yang lain daripada orang lain. Kita tidak mahukan bunyi yang mirip dalam muzik mereka tanpa ada keunikan tersendiri.

"Apa yang mereka perlu tawarkan adalah suntikan elemen kehidupan peribadi dalam karya dihasilkan. Banyak sebenarnya yang boleh digunakan seperti latar belakang diri, cara mereka membesar dan nilai estetika budaya mereka," katanya.

Anggun turut menamakan Yuna sebagai contoh anak seni dari Asia yang berjaya menyerlahkan keunikan itu. Dia menyanjung tinggi perjuangan Yuna menembusi pasaran AS.

Persahabatan terjalin antara mereka juga membuatkan dia cukup menghormati Yuna. Anggun melihat Yuna adalah contoh golongan minoriti yang berada dalam kelas tersendiri.

"Dia adalah wanita Muslim moden, penulis lagu dan penyanyi yang cukup unik pendekatannya. Malah, dia satu-satunya yang memiliki identiti itu. Bakatnya sangat berharga dan kita perlukan artis sepertinya. Saya tumpang gembira dengan kejayaannya, menjadi peminatnya dan turut bersahabat dengannya. Apabila saya melihat figura sepertinya, ia memotivasikan saya kerana mereka bukan setakat cuba menjadi popular, misinya lebih kepada menjadi lebih hebat," katanya.

Hikmah dalam Covid-19

Dalam pada itu, Anggun bersyukur apabila situasi pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini ada hikmah dalam hidupnya.

Walaupun sedih kerana membantutkan perkembangan dunia hiburan, dia reda.

"Keseluruhan industri muzik sekarang berdepan dengan kesukaran yang sama. Banyak aktiviti seni tidak dapat dilaksanakan di luar, namun ia memberi peluang buat saya memanfaatkan masa duduk di rumah.

"Di samping menikmati masa sepenuhnya bersama keluarga, saya manfaatkan masa itu untuk menyempurnakan karya muzik saya. Proses kreativiti itu tidak pernah terhenti dan banyak masa untuk melakukannya dalam tempoh sekarang," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan kerjayanya, Anggun tidak bercadang menghasilkan lagu baharu dalam masa terdekat ini. Oleh itu, situasi semasa sekarang tidak menjadi bebanan buatnya dalam kelangsungan kerjaya seni.

"Apa juga yang dilakukan dalam muzik bukannya sebab saya perlu memaksanya. Kalau ada kerja pun, sekarang kita boleh mengadakan perbincangan atau mesyuarat menerusi dalam talian sahaja.

"Sekarang ini saya berada di Paris, namun setiap kali saya ke rumah kami di kawasan pedalaman, capaian Internet sangat perlahan. Jadi, banyak perkara yang saya tidak boleh lakukan. Namun, inilah sebenarnya keindahan kepada situasi sekarang apabila kita berusaha untuk cuba menyesuaikan diri. Namun, saya sebenarnya bersyukur kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini untuk saya dan tahu ia cuma sementara," katanya.

Dalam pada itu, Anggun bakal beraksi dalam persembahan virtual AXN All-Stars pada 28 November ini jam 8 malam di saluran YouTube dan Facebook AXN Asia. Persembahan itu diadakan bagi menghargai perjuangan barisan hadapan.

Selain Anggun, turut membuat persembahan dalam program kerjasama Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia dengan AXN Asia ialah David Foster, Michael Bolton, Melanie C, Cosentino, Cyril Takayama dan Afgansyah Reza.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 6:00am
d