utama

'Saya ingat kakak kena karan'

Oleh Zaid Salim

Hulu Terengganu: "Saya ingat kakak kena karan (arus letrik), saya terus telefon ayah," kata Siti Nur Syuhada Ismail, 15, adik kepada, Siti Nur Surya, 19, yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong, di sini, hari ini.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Telemong berkata, dia mengesyaki sesuatu berlaku pada kakaknya apabila wanita berkenaan tidak menjawab panggilannya selepas habis waktu persekolahan.

"Rutin kakak menjemput saya pulang dari sekolah tetapi selepas mendapati kakak tidak ada di perkarangan sekolah, saya rasa hairan dan menghubunginya beberapa kali.

"Saya syak sesuatu berlaku selepas kakak tidak menjawab panggilan telefon dan segera berlari pulang ke rumah yang terletak lebih satu kilometer.

"Sebaik tiba di perkarangan rumah saya lihat pintu terbuka dan segera masuk sebelum melihat kakak tertiarap di depan televisyen di ruang tamu dengan pergelangan tangan kirinya putus. Saya segera menghubungi bapa, Ismail Muda, 58, memberitahu kakak kena karan pergelangan tangan kiri putus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ismail berkata, ketika dalam perjalanan pulang, dia sudah mengagak Siti Nur Surya dibunuh kerana pergelangan putus.

"Ketika anak telefon, saya sedang bekerja di Kampung Banggol Katong, Bukit Payung, kira-kira lima kilometer dari rumah. Saya sudah agak ada orang masuk rumah dan bunuh anak saya," katanya.

Menurutnya, dia menjangkakan kejadian itu berlaku sebelum jam 10 pagi, kerana bubur nasi yang dibeli anak tidak terusik dan lampin pakai buang basah bermakna belum ditukar.

Dia yang menjalankan perniagaan pasir dan tanah berkata, kebiasaannya, anak lelaki, Mohd Zaid Azroi, 28, akan pulang ke rumah menghantar bubur nasi jam 8 pagi dan keluar semula ke tempat kerja selepas selesai sarapan.

"Saya agak kejadian ini berlaku sebaik anak lelaki keluar rumah untuk kembali ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi," katanya.

Dia yang tinggal di kampung berkenaan sejak lima tahun lalu berkata, Siti Nur Surya dipercayai bergelut dengan perompak terbabit sebelum dibunuh manakala isteri, yang menghidapi sakit kanser otak dan terlantar di katil hanya mampu melihat kejadian itu.

Katanya, hanya wang perbelanjaan harian sebanyak RM400 dan wang milik arwah dianggarkan RM2,000 serta dua telefon bimbit miliknya yang disimpan dalam beg tangan hilang.

"Saya anggarkan wang arwah sebanyak itu kerana sejak menjaga ibunya (terlantar sakit), saya beri saguhati kepadanya RM100 setiap bulan," katanya.

Katanya, dia tidak mengesyaki sesiapa yang melakukan kejadian menyayat hati itu dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Berita berkaitan

Ibu terlantar sakit saksi anak perempuan dibunuh penyamun

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 9:38pm
d